Sabtu, 6 Mei 2017 | 1:44pm
PASARAN getah Malaysia diunjur kekal lengang minggu depan setelah kurang pemangkin, kata seorang peniaga. - Foto hiasan

Pasaran getah diunjur turun minggu depan

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia diunjur kekal lengang minggu depan setelah kurang pemangkin, kata seorang peniaga.

Beliau berkata pergerakan pasaran tempatan akan bergantung kepada prestasi kontrak hadapan getah di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) dan Bursa Niaga Hadapan Shanghai (SHFE), serta pergerakan ringgit dan harga minyak.

"Bagi minggu yang baru berakhir yang singkat, pasaran diniagakan rendah dan bercampur-campur, mengikuti perkembangan faktor-faktor luar terutama TOCOM, SHFE dan prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti umum Hari Pekerja.

Menurut laporan, harga minyak jatuh ke paras rendah dalam enam bulan setelah terdapat kebimbangan mengenai kemelut minyak dunia.

Bagaimanapun, gangguan bekalan berikutan hujan lebat di Selatan Thailand dan di beberapa kawasan penanaman getah di Malaysia boleh memberi sokongan kepada pasaran minggu depan.

Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 susut 46 sen kepada 634.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 18 sen kepada 616 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi SMR 20 turun 70 sen kepada 625 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 13 sen kepada 613 sen sekilogram. - BERNAMA

Berita Harian X