Sabtu, 6 Mei 2017 | 9:07am

RM25 juta bangunkan kilang usahawan IKS

PASIR GUDANG: Sebanyak 30 unit kilang pasang siap Bumiputera industri kecil sederhana (IKS) akan dibina di kawasan Kampung Pasir Gudang Baru bagi merancakkanbudaya keusahawanan di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek yang menerima peruntukan berjumlah RM25 juta daripada Kementerian Kewangan menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK 11) itu dijangka siap pertengahan tahun depan.

Katanya, projek yang akan dibangunkan Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama SME Corp Malaysia dan sokongan kerajaan pusat itu membabitkan kawasan seluas 1.86 hektar.

"Mengikut pelan dan perancangan, apabila siap nanti, ia akan disewakan kepada pengusaha Bumiputera di Johor.

"Kerajan negeri berharap inisiatif ini akan menjadi satu lagi lonjakan baharu kepada agenda Keusahawanan Johor.

"Usahawan yang dipilih adalah dalam kalangan yang betul-betul hendak dimantapkan, tidak hanya soal program inkubator.

"Mereka perlu mendapat pendedahan menerusi program rangkaian, malah bimbingan mentor kerana mereka (usahawan) memerlukan kemahiran, pendedahan dan strategi perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Gerak Usahawan Peringkat Johor di Litar Pasir Gudang, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Program Gerak Usahawan Peringkat Johor yang memasuki tahun keempat penganjurannya bertujuan membangunkan bakat dan usahawan muda yang berpotensi berikutan ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, Johor bukan hanya negeri ekonomi pertanian semata-mata, malah ekonomi perdagangan dan inovasi.

"Keusahawanan mestilah ditonjolkan sebagai pilihan kerjaya yang baik serta mempunyai masa depan yang cerah, bukan sekadar pilihan kerjaya terakhir.

"Segala bentuk perubahan keusahawanan dan perkembangan semasa ini bukan sekadar harus dilihat secara positif tetapi mesti dimanfaatkan dan diekploitasi untuk mencipta pelbagai peluang pembangunan dan kemakmuran," katanya.

Berita Harian X