Sabtu, 6 Mei 2017 | 6:00am
PEMAIN Tottenham, Harry Kane bersama Dele Alli meraikan gol ketika perlawanan menentang Arsenal. - Foto REUTERS

Impian Spurs, Arsenal bakal lebur?

KOLUM APA KATA EPL

Selepas 34 perlawanan, Chelsea terus gah menghuni tangga teratas carta Liga Perdana Inggeris (EPL). Tottenham Hotspur pula mengekori rapat di tangga kedua, dengan hanya perbezaan empat mata.

Tiada lagi pasukan lain yang mampu merapati atau memintas kedua-dua pasukan ini. Gelaran juara dan naib juara jelas bakal menjadi milik antara dua pasukan ini dengan The Blues terus menjadi pilihan utama.

Middlesbrough, West Brom, Watford dan Sunderland menanti Chelsea selepas ini, manakala West Ham, Manchester United, Leicester City dan Hull City pula buat Spurs.

Dengan kelebihan empat mata dalam tangan, The Blues hanya perlu memenangi tiga aksi terakhir manakala pencabarnya perlu memenangi setiap aksi berbaki

termasuk menentang United pada 14 Mei sambil berharap Chelsea tercicir.

Persoalannya, mampukah anak buah Mauricio Pochettino melakukan itu semua terutama ketika berdepan United yang ketika ini memburu kemenangan untuk layak berentap saingan Liga Juara-Juara musim depan?

West Ham yang ditemui Spurs awal pagi tadi waktu Malaysia menjadi penentu kepada nasib mereka. Andai menang, mereka bakal ketinggalan satu mata di belakang Chelsea yang hanya menentang Middlesbrough pada awal pagi Selasa.

Jika sebaliknya pula, Pochettino boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kejuaraan EPL musim ini. Satu lagi musim menghampakan buat pasukan dari White Hart Lane ini.

Dalam pada itu, beberapa hari sebelum pertemuan antara Arsenal dan United di Emirates malam esok, Arsene Wenger dilaporkan sedia melupakan persengketaan dengan Jose Mourinho.

Kedua-dua pengendali terkenal ini sering kali bertelingkah sepanjang dua kali Mourinho membimbing Chelsea dengan insiden di luar garisan padang di Stamford Bridge pada Oktober 2014 sebagai kemuncaknya.

Sama ada hasrat terbaru Wenger ini ikhlas atau sebaliknya, yang pasti dia dan Mourinho mempunyai misi penting perlu digapai di Emirates iaitu meraih mata penuh dalam usaha memburu empat tempat terbaik liga.

Statistik lalu menunjukkan Wenger tidak pernah menang ke atas pasukan bimbingan Mourinho. Adakah sejarah ini akan terus kekal atau bakal dileburkan pengendali Arsenal itu?

Pada pertemuan terakhir di Old Trafford, kedua-dua pasukan terikat 1-1. Namun saya jangkakan aksi bakal sengit melihat kepada kedudukan mutakhir kedua-dua pasukan.

Minggu lalu, Arsenal tewas 2-0 kepada Spurs manakala United terikat 1-1 dengan Swansea City. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-35

West Ham 1 Tottenham 3

Man City 4 Crystal Palace 1

Bournemouth 1 Stoke City 1

Hull City 2 Sunderland 1

Burnley 1 West Brom 1

Leicester City 3 Watford 1

Swansea City 1 Everton 2

Liverpool 2 Southampton 1

Arsenal 1 Man United 2

Chelsea 4 Middlesbrough 1

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X