Jumaat, 5 Mei 2017 | 10:43pm

IWC terima cadangan penggabungan IWH

KUALA LUMPUR: Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) memeterai perjanjian penggabungan dengan Iskandar Waterfront City Bhd (IWC), berikutan penerimaan oleh Lembaga Pengarah IWC yang mahu membentangkan skim penggabungan itu kepada pemegang saham IWC.

Penggabungan itu membentuk sebahagian daripada langkah penstrukturan dan rasionalisasi yang sedang dibuat IWH bagi menyatukan simpanan tanah Kumpulan IWH, dengan tujuan mewujudkan sinergi dan ekonomi skala yang lebih baik (cadangan langkah R&R), kata IWH dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi penggabungan itu, IWH akan memperoleh 61.7 peratus baki pegangan dalam IWC pada harga RM1.50 sesaham, yang akan dijelaskan melalui terbitan saham IWH pada asas satu saham baharu IWH bagi bagi setiap satu saham IWC sedia ada (nisbah pertukaran).

Selepas itu, IWH akan memulakan status penyenaraian IWC.

Selanjutnya, sebagai sebahagian daripada cadangan langkah R&R itu, IWH bakal menerima simpanan tanah seluas 1,456 hektar dengan nilai pasaran terbuka (OMV) RM4.3 bilion melalui perjanjian-perjanjian definitif dengan vendor masing-masing, iaitu Tan Sri Lim Kang Hoo (Pengarah dan Naib Pengerusi Eksekutif IWH), Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (bahagian pelaburan kerajaan negeri Johor) dan entiti-entiti lain negeri Johor dalam tempoh 60 hari selepas perjanjian penggabungan itu dimeterai.

Selepas penyempurnaan langkah korporat berkenaan, IWH akan mempunyai jumlah simpanan tanah seluas kira-kira 2,740 hektar di Johor Bahru dengan nilai pasaran terbuka sekitar RM30 bilion, seperti yang dinilai penilai bebas yang dilantik.

IWH melahirkan keyakinan berhubung masa depan prospek cadangan skim penggabungan dan penyusunan semula itu, yang bertujuan mewujudkan satu daripada pemaju harta tanah utama dan strategik di Bursa Malaysia.

Penggabungan ini juga akan menyediakan peluang kepada pemegang saham IWC untuk mengambil bahagian dalam syarikat tersenarai yang besar dengan pembangunan di lokasi strategik.

Dalam perkembangan yang berasingan, IWC hari ini memuktamadkan satu perjanjian tambahan dengan Greenland Tebrau Sdn Bhd berhubung satu cadangan pelupusan tanah, yang mana kedua-dua pihak bersetuju ke atas kesemua terma dan syarat pembayaran dalam memenuhi tanggungjawab masing-masing. - BERNAMA

Berita Harian X