Jumaat, 5 Mei 2017 | 10:20pm

Kumpulan pertama penyokong Selangor bertolak ke Singapura


PANDANGAN dari udara bas yang membawa penyokong Selangor ke Stadium Nasional Singapura mula memenuhi perkarangan Stadium Shah Alam.

SINGAPURA: Seramai 800 penyokong pasukan bola sepak Selangor antara kumpulan pertama yang sudah memulakan konvoi mereka daripada Stadium Shah Alam menuju ke Singapura sempena saingan Piala Sultan Selangor, esok.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata kumpulan pertama membabitkan konvoi 20 bas itu memulakan perjalanan kira-kira jam 9 malam tadi.

Katanya, ia kemudian disusuli setiap setengah jam dengan kumpulan seterusnya yang akan sama-sama menuju ke Stadium Nasional Singapura bagi memeriahkan saingan edisi ke-16 saingan Piala Sultan Selangor.

"Kepada semua penyokong, usaha kita merancang yang terbaik untuk semua tetapi tidak dapat dielakkan wujud sedikit kesulitan yang tidak dijangka, sesetengah bas ada yang masih kosong dan mereka yang ada pasport individu boleh menaikinya.

"Soal tiket bola jangan jadikan sebagai satu penghalang, ia akan diberi di dalam bas. Saya doakan perjalanan selamat sampai ke Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


ANTARA penyokong pasukan bola sepak Selangor yang sempat bergambar sebelum memulakan konvoi secara berperingkat menuju ke Stadium Nasional Singapura bagi saingan Piala Sultan Selangor, esok.

Katanya, semua konvoi akan berhenti berehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Pagoh dan Gelang Patah di Johor sebelum meneruskan perjalanan pada pagi esok dan bas terawal dijangka tiba di stadium kira-kira jam 7.30 pagi.

Penganjuran tahun ini menjadikan penantian penyokong Selangor selama tujuh tahun yang mahu penganjuran kejohanan berprestij itu diadakan di Singapura, akhirnya tercapai.

Dalam aksi Piala Sultan Selangor edisi ke-15 yang berlangsung 7 Mei tahun lalu, skuad Veteran Selangor menewaskan Veteran Singapura 2-0, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan skuad Pilihan Selangor apabila tewas dalam penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit aksi.

Edisi ke-16 kali ini juga menyaksikan buat julung kalinya Piala Cabaran Sekolah-sekolah Singapura-Selangor diperkenalkan dan akan direbut pemain bawah 16 tahun.

Berita Harian X