Jumaat, 5 Mei 2017 | 6:03pm

PKNS FC komited rampas semula Piala Sultan Selangor


KAPTEN PKNS FC, Safee Sali (dua dari kanan) bersalam dengan kapten Singapura, Hariss Harun pada sidang media sempena perlawanan Piala Sultan Selangor di Singapura. Turut hadir, ketua jurulatih PKNS FC, E Elevarasan (kanan) dan penolong jurulatih Singapura, Nazri Nasir (kiri). - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

SINGAPURA: Persatuan Kelab Bola Sepak PKNS (PKNS FC) bersedia memberikan aksi terbaik pada perlawanan esok, sekali gus membawa pulang semula Piala Sultan Selangor yang sebelum ini berada dalam tangan Singapura.

Jurulatihnya, E Elavarasan, berkata perlawanan pasukannya menentang Singapura pada saingan Piala Sultan Selangor edisi ke-16, esok disifatkan sebagai penting dan segala persediaan rapi sudah dilakukan.

"Saya berpuas hati dengan persediaan pasukan dan Tan Sri Abd Karim Munisar (Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor) juga banyak memberi motivasi kepada saya dan pasukan untuk perlawanan ini.

"Pemain pasukan kita, Safee Sali, Patrick Ronaldinho dan P Gunalan berada dalam kondisi baik dan akan diturunkan, manakala pemain tengah, K Gurusamy, masih mengalami kecederaan kecil dan petang ini baru boleh saya putuskan (bermain atau tidak)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media bersama Pembantu Jurulatih Singapura, Nazri Nasir dan Ketua Pasukan Singapura, Hariss Harun sempena saingan Piala Sultan Selangor di sini, esok.

Sementara itu, kapten PKNS FC, Safee berkata persiapan pasukan itu berjalan lancar dan berharap semua rakan dapat menampilkan aksi terbaik malam esok.


KAPTEN PKNS FC, Safee Sali bersalam dengan kapten Singapura, Hariss Harun pada sidang media sempena perlawanan Piala Sultan Selangor di Singapura. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

"Kami yakin dan saya lihat Datuk Soh Chin Aun (pemain veteran Selangor) pun ada hari ini, saya yakin PKNS FC boleh memenangi perlawanan ini," katanya sambil berseloroh.

Bagi Hariss, saingan esok diibaratkan sebagai satu perlawanan bersejarah dan amat bermakna untuk peminat kedua-dua pasukan.

"Kita (Singapura) akan bermain dan mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan ini yang mempunyai nilai dan sejarah tersendiri dan harap peminat dapat hadir memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka," katanya.

Penganjuran tahun ini menjadikan penantian penyokong Selangor selama tujuh tahun yang mahu penganjuran kejohanan berprestij itu diadakan di Singapura, akhirnya tercapai.

Dalam aksi Piala Sultan Selangor edisi ke-15 yang berlangsung di Shah Alam 7 Mei tahun lalu, skuad Veteran Selangor menewaskan Veteran Singapura 2-0, namun skuad Pilihan Selangor tewas menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam aksi 90 minit.

Edisi ke-16 kali ini juga menyaksikan buat julung kalinya Piala Cabaran Sekolah-sekolah Singapura-Selangor diperkenalkan dan akan direbut pemain bawah 16 tahun kedua-dua pasukan.

Berita Harian X