Jumaat, 5 Mei 2017 | 2:31pm

CTC tingkat perkhidmatan awam di luar bandar


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Hairul Anuar Rahim

PASIR GUDANG: Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (CTC) yang dilaksanakan agensi kerajaan mampu menambah baik sistem penyampaian, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam kepada masyarakat.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata konsep CTC menjadi antara inisiatif kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi memberikan perkhidmatan utama yang diperlukan penduduk luar bandar dan komuniti pedalaman.

Katanya, ia juga selaras dengan pelaksanaan pusat transformasi bandar (UTC) bagi komuniti bandar dan pusat transformasi luar bandar (RTC) bagi penduduk luar bandar.

"Pelaksanaan CTC membawa perubahan dari segi kecekapan sistem penyampaian awam.

"Paling penting, ia mengubah persepsi masyarakat sama ada di Johor atau di seluruh pelusuk negara terhadap organisasi dan agensi kerajaan pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Program CTC, di Ruang Atrium, Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad.

Berita Harian X