Jumaat, 5 Mei 2017 | 1:58pm

Wenger sedia berdamai dengan Mourinho


ARSENE Wenger dan Jose Mourinho .

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyatakan kesediaan menamatkan persengketaan dengan Jose Mourinho pada aksi menentang Manchester United, Ahad ini.

Kedua-dua pengendali itu diketahui mempunyai hubungan tegang sejak sekian lama, bermula 2005 ketika Mourinho bersama Chelsea selepas melabelkan Wenger sebagai penyibuk.

Pada 2014, Mourinho sekali lagi memberi gelaran kepada Wenger dengan menyifatkan pengurus Gunners itu 'pakar kegagalan' sehingga berlaku beberapa ketegangan di garisan tepi padang membabitkan dua pengurus berprofil tinggi itu.

Wenger bersedia untuk berdamai seperti dilakukan dengan bekas pengendali United, Alex Ferguson.

"Saya sentiasa terbuka untuk berdamai. Namun lebih penting, apabila kamu hadir sebagai pesaing, sudah pasti kamu akan memberi segala-galanya untuk memenangi perlawanan.

"Hubungan saya dengan Ferguson agak baik. Kami saling menghormati dan saya akan cuba menghormati semua orang.

"Bagaimanapun saya fikir lebih penting memikirkan soal prestasi pasukan sendiri berbanding daripada perkara lain." - AFP

Berita Harian X