Khamis, 4 Mei 2017 | 8:59pm

Jualan besar-besaran saham hanya fenomena sementara - Ekovest

KUALA LUMPUR: Ekovest Bhd menyifatkan jualan besar-besaran sahamnya hari ini adalah fenomena sementara berikutan asas syarikat masih kekal kukuh.

Ekovest adalah syarikat disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dikaitkan dengan Iskandar Waterfront City Bhd (IWC).

Semalam, pemaju utama Bandar Malaysia, TRX City Sdn Bhd, berkata perjanjian dengan IWH dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd berhubung jualan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, terbatal susulan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusannya, Datuk Seri Lim Keng Cheng, berkata prospek syarikat kekal baik susulan asetnya yang aktif dan penjanaan aliran tunai yang kukuh.

"Saya menyeru pelabur untuk terus menilai bagaimana setiap bahagian perniagaan Ekovest diurus dan dikendalikan, kerana ia lebih mencerminkan prestasi kami.

"Adalah lebih baik mengelak sebarang spekulasi dan menumpukan kepada asas dan fakta yang diketahui," katanya.

Saham Ekovest mencecah RM1.01 pada tengah hari dan ditutup pada RM1.17 pada akhir dagangan hari ini. Waran ditutup 17.5 sen lebih rendah kepada 95.5. - BERNAMA

Berita Harian X