Khamis, 4 Mei 2017 | 8:39pm

UMW-OG batal gabung dengan ICON, Orkim

KUALA LUMPUR: UMW Oil & Gas Corporation Bhd (UMW-OG) mencapai persetujuan dengan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) untuk tidak melaksanakan penggabungan membabitkan UMW-OG, Icon Offshore Bhd (ICON) dan Orkim Sdn Bhd.

Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keperluan modal yang besar oleh UMW-OG serta mengambil kira keperluan untuk mempunyai rangka kerja penggabungan industri lebih jelas dan kepastian persekitaran industri sebelum penggabungan seumpama itu dilaksanakan.

Presiden UMW-OG, Rohaizad Darus, berkata mewujudkan penyedia perkhidmatan O&G bersepadu utama adalah pendekatan strategik yang tepat untuk jangka panjang.

Namun selepas kajian terperinci, beliau berkata, pihaknya percaya UMW-OG perlu menumpukan sepenuhnya terhadap pengukuhan kedudukan kewangan dan mengurangkan hutang bagi memenuhi keperluan pinjaman.

"Oleh itu, kami memutuskan untuk tidak meneruskan penggabungan buat masa ini, tetapi boleh terus meneroka peluang bekerjasama pada masa akan datang, sebaik terdapat lebih kepastian dalam persekitaran industri dan rangka kerja penggabungan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

UMW-OG juga mengumumkan langkah permodalan semula berjumlah RM1.8 bilion.

Sebaik saja selesai cadangan UMW-OG untuk keluar daripada UMW Holdings Bhd (UMWH) yang mana akan terus dilaksanakan seperti dirancangkan, Permodalan Nasional Bhd (PNB) bersama dana unit amanah di bawah pengurusannya akan menjadi pemegang saham langsung 45.5 peratus dalam UMW-OG.

PNB sudah memaklumkan UMW-OG bahawa ia akan menaja jamin keseluruhan permodalan semula, tertakluk kepada terma persetujuan dengan PNB dan pengecualian diberikan terhadap keperluan untuk melaksanakan tawaran am mandatori.

Dana daripada permodalan semula itu akan digunakan untuk mengurangkan sejumlah besar hutang UMW-OG dengan jumlah tertentu dipohon bagi keperluan modal kerja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pihak yang terbabit dalam cadangan penggabungan membuat keputusan itu selepas menimbangkan keperluan modal UMW-OG yang memerlukan permodalan semula jauh lebih besar berbanding anggaran peringkat awal.

Beliau berkata, ini seterusnya akan memberi kesan buruk dari segi ekonomi ke atas urus niaga yang dicadangkan.

"Dalam pada itu, kami akan menyokong syarikat pelaburan kami, ICON dan Orkim, dalam melaksanakan strategi mereka untuk mengembangkan perniagaan masing-masing dalam usaha mencapai penciptaan nilai pemegang saham," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X