Khamis, 4 Mei 2017 | 6:38pm

MVV mampu tarik pelaburan RM290 bilion - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan Mesyuarat Malaysia Vision Valley (MVV) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) merangkumi kawasan seluas 153,000 hektar dijangka mampu menarik peluang pelaburan lebih RM290 bilion dan mewujudkan 1.38 juta peluang kerja, kata Datuk Seri Najib Razak.

Tambah Perdana Menteri, pembangunan meliputi daerah Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan yang dibahagikan kepada lima kluster itu adalah pembangunan terancang secara berfasa sehingga tahun 2045 dan akan menjadi sebahagian daripada Greater Kuala Lumpur di bawah Zon Potensi Pembangunan dalam Rancangan Fiskal Negara.

Ia termasuk kluster Pusat Daerah Perniagaan, Bandar Alam, Lembah Teknologi Pendidikan, Pelancongan dan Kesejahteraan serta Perbandaran Kehidupan Baru.

"MVV juga akan menyediakan rumah mampu milik membabit kawasan seluas kira-kira 405 hektar, selain turut menyediakan kawasan bagi kemudahan awam dan rekreasi dengan kawasan hijau melebihi 405 hektar.

"Ia juga akan mempunyai hab pengangkutan bersepadu yang berteraskan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) di Labu, Negeri Sembilan, yang akan menghubungkan MVV dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bandar Malaysia dan Singapura.

"Dalam pelan pelaksanaan awal di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), RM560 juta diluluskan bagi pembangunan sistem perhubungan jalan raya di kawasan MVV," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan tiga syarikat untuk meneraju pembangunan MVV di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sime Darby Property Berhad (Sime Darby) diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Jauhari Hamidi; Brunsfield Development Sdn Bhd (Brunsfield) oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Gan Thian Leong manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Acara itu disaksikan oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kata Perdana Menteri, pembangunan MVV akan dilaksana menerusi usaha sama pintar pihak awam dan swasta dengan memberi tumpuan kepada empat pemacu pembangunan utama iaitu berteraskan pembuatan berteknologi tinggi, pelancongan dan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta pengkhususan perkhidmatan.

Tambah beliau, pembangunan MVV dalam tempoh 30 tahun itu membabitkan lapan projek utama yang dikenali sebagai projek nadi iaitu Kampus Taman & Perindustrian Berteknologi Tinggi, Daerah Pengangkutan Bersepadu, Bandar Sukan & Rekreasi, Bandar Pengetahuan Global, Bandar Biopolis & Kesejahteraan serta Daerah Pelancongan.

Berita Harian X