Khamis, 4 Mei 2017 | 6:10pm

Karnival Jualan Mega Muafakat Johor dijangka tarik 20,000 pengunjung


PENGERUSI Pelancongan, Perdagangan dan kepenggunaan, Datuk Tee Siew Kiong (tengah) bersama Timbalan Pengarah KPDNKK Negeri Johor, Aris Mamat (kanan) dan Yang DiPertua MPPG, Hasrin Kamal Hashim (kiri) menunjukkan poster Jualan Mega Muafakat Johor ketika sidang media di Menara Ansar, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Karnival Jualan Mega Muafakat Johor yang akan diadakan selama tiga hari di Perkarangan Stadium Tertutup Pasir Gudang, bermula 19 Mei ini, dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung.

Program anjuran kerajaan negeri menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor itu menyediakan lebih 50 ruang jualan produk usahawan tempatan, selain ruang pameran agensi berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata karnival itu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat yang juga menjadi antara fokus utama berdasarkan Pelan Suara Hati Johor.

Katanya, berikutan sambutan menggalakkan daripada inisiatif terdahulu iaitu Festival Trak Johor 2015 dan Mega Sales Midnight 2016, pihaknya meneruskan momentum bagi mengadakan program ke arah mewujudkan masyarakat pengguna yang berdaya saing.

"Inisiatif ini bertujuan menggalakkan pembangunan industri perdagangan domestik dengan menyediakan platform kepada pengeluar atau pengedar untuk memasar dan mempromosi produk keperluan asas terus kepada pengguna.

"Ini antara lain bagi mewujudkan suatu keistimewaan program kerajaan negeri dalam sektor kepenggunaan, selain mewujudkan sinergi permuafakatan antara kerajaan dan peniaga, sekali gus merealisasikan Gagasan Muafakat Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Karnival Jualan Mega Muafakat Johor 2017 di Menara Ansar di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Siew Kiong berkata, Pasir Gudang adalah lokasi ideal bagi usahawan dan penduduk sekitar menyertai karnival ini berikutan lebih 300,000 penduduk menetap di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) Pasir Gudang.

Katanya, karnival yang turut membabitkan penyertaan 10 trak makanan itu, akan dibuka kepada orang awam bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dengan majlis perasmian dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada jam 3 petang, 19 Mei.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan seluruh rakyat Johor menyertai karnival ini kerana pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, termasuk persembahan artis, potongan harga barangan sehingga 50 peratus dan jualan istimewa Happy Hour," katanya.

Berita Harian X