Khamis, 4 Mei 2017 | 1:55pm

Sultan Johor mahu pindaan Peraturan Tanah Johor dipercepat


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menadah tangan mengaminkan doa sempena Pembukaan Rasmi Persidangan Kelima DUN Johor Yang Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim, Jalan Bukit Timbalan, Johor Bahru.- Foto Ihsan PENERANGAN

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mahu kerajaan negeri mempercepatkan penguatkuasaan pindaan Peraturan Tanah Johor yang mengenakan kadar bayaran dan cukai tanah baharu.

Baginda bertitah, pindaan itu sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2015 iaitu 10 tahun selepas pindaan terakhir pada tahun 2004.

"Janganlah kerana hendak menghadapi pilihan raya, kerajaan menangguhkan pelaksanaannya kerana apa juga keputusan pilihan raya kelak, pindaan peraturan itu akan tetap dilaksanakan.

"Ingatlah, sesuatu dasar dan undang-undang mestilah dibuat secara konsisten, bukan atas sebab politik.

"Sistem cukai yang dikutip kerajaan bukan perkara baharu kerana hasil cukai akan digunakan untuk memberikan perkhidmatan dan menyediakan kemudahan awam kepada rakyat," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada perasmian Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13, di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Teks titah baginda dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sultan Johor mengakui kecewa apabila ada rakyat mempertikaikan kutipan cukai dibuat dan enggan menjelaskannya.

"Sebagai contoh, penduduk di Kampung Air Papan, Mersing, tidak mahu menjelaskan cukai harta apabila kawasan mereka dimasukkan di dalam kawasan pentadbiran majlis daerah.

"Cukai dikenakan adalah kecil berbanding perkhidmatan diberikan, namun kerana sikap tidak bertanggungjawab, mereka terus membantah.

"Saya sudah membayar cukai itu untuk tahun ini, namun untuk tahun seterusnya, mereka mestilah sama-sama bertanggungawab.

"Pergilah ke mana-mana negara di dunia ini, semuanya ada mengamalkan sistem cukai yang tidak boleh dielakkan," titah baginda.

Sultan Johor turut meminta kerajaan negeri mencari jalan terbaik bagi memenuhi kehendak rakyat untuk rumah mampu milik dan baginda percaya kos pembinaan boleh dikurangkan jika projek dilaksanakan sendiri atau mengurangkan lapisan subkontraktor.

Titah baginda, kos infrastruktur awam boleh dikurangkan jika agensi kerajaan yang terbabit bersama-sama membantu mengurangkan kos pembangunan, manakala kos tanah juga boleh diminimumkan jika kerajaan mempunyai tanah sendiri.

Sehubungan itu, baginda menasihatkan kerajaan supaya tidak terlalu bermurah hati memberikan tanah kerajaan kepada individu atau syarikat terutama di kawasan bandar.

"Kerajaan mesti mempunyai kawasan yang disimpan untuk pembangunan akan datang kerana kos pembangunan meningkat apabila kerajaan terpaksa membayar kos PBT (pihak berkuasa tempatan) atau pengambilan balik tanah yang tinggi," titah baginda.

158 dibaca
Berita Harian X