Khamis, 4 Mei 2017 | 12:07pm

Jangan guna khidmat doktor gigi haram


DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Halim Salleh

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bimbang berikutan peningkatan aduan pelanggan yang mengalami komplikasi atau kesan buruk akibat perkhidmatan tidak professional oleh pengamal pergigian haram.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini, berkata antara aduan itu termasuk perkhidmatan pembuatan gigi palsu, penskaleran (scaling) dan pemutihan gigi (tooth whitening).

"Pemutihan gigi dengan produk yang dijual di pasaran terbuka (kepekatan asid kurang dari 0.01 peratus) boleh diguna pakai sendiri oleh orang awam, manakala produk melebihi kepekatan yang ditetapkan hanya boleh dikendalikan pengamal pergigian bertauliah.

"Dalam erti kata lain, hanya doktor gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia di bawah Akta Pergigian 1971 dan menjalankan perkhidmatan di premis kesihatan yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 boleh menggunakannya.

"Justeru, pihak kementerian menggesa orang ramai untuk mendapatkan sebarang rawatan pergigian di klinik pergigian kerajaan mahupun swasta yang berdaftar dan dilakukan oleh pengamal pergigian yang bertauliah," katanya.

Kata Dr Noor Hisham, sejak 2015 sehingga kini, sebanyak 46 aduan diterima mengenai pengamal pergigian haram dan sepanjang tempoh itu, sebanyak 18 kes berjaya dibawa ke mahkamah.

Dalam kes terbaharu yang didakwa di Johor pada 30 Mac lalu, tertuduh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara selama 3 bulan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengamal pergigian yang mencurigakan, digesa tampil menyalurkan aduan rasmi kepada Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan menerusi talian 03-88834215 atau e-mel ke ohd@moh.gov.my.

Pendaftaran pengamal pergigian juga boleh disemak di laman web Majlis Pergigian Malaysia di mdc.moh.gov.my atau dpims.moh.gov.my.

46 dibaca
Berita Harian X