Khamis, 4 Mei 2017 | 11:40am

Berhati-hati buat keputusan - Sultan Johor


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mewaikili Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyempurnakan Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13, di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, pagi ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah menasihatkan kerajaan negeri supaya berhati-hati membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan kata-kata atau desakan orang luar yang tidak mengetahui sejarah serta cara pentadbiran negeri ini.

"Pepatah Melayu ada menyebut 'dengar cakap enggang, makan buah beluluk; dengar cakap orang, terjun masuk lubuk," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13, di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Teks titah baginda dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sultan Johor memberi mengenai cadangan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (2014) dipinda apabila ada orang luar yang mempertikaikan kuasa Raja dalam enakmen berkenaan.

"Enakmen itu dibuat dengan betul mengikut acuan enakmen kerajaan Johor yang sudah diguna pakai sebelum ini dan sudah pun disembahkan oleh penasihat undang-undang kepada saya," titah baginda.

Baginda bertitah, kuasa Raja dalam enakmen negeri wujud sejak 1895 apabila Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dimasyhurkan.

"Kuasa itu mesti dikekalkan bagi mengimbangi kuasa politik dengan kepentingan rakyat dan negeri Johor," titah baginda.

Baginda turut bertitah, dasar yang konsisten akan memberikan keyakinan kepada pelabur untuk jangka panjang, manakala dasar yang tidak konsisten pula akan hanya menakutkan pelaburan dan merugikan kerajaan.

"Sekiranya berlaku keadaan ekonomi kurang baik, kerajaan boleh memberikan insentif atau kelonggaran tanpa mengubah dasar sedia ada.

"Dengan cara ini, semua pihak akan selesa dalam membuat perancangan dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk melabur di negeri ini," titah baginda.

140 dibaca
Berita Harian X