Khamis, 4 Mei 2017 | 10:27am

Pemandu lori, kelindan maut nahas


ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori selepas kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 24.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan). - Foto Ihsan Bomba Johor.

KULAI: Seorang pemandu dan kelindannya maut selepas lori dinaiki merempuh sebuah lori lain di Kilometer 24.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.43 pagi itu, pemandu lori, Mohamad Norhafiz, 30, dan kelindannya, M Rajandran, 48, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta dada.

Bagaimanapun, seorang lagi pemandu lori, Pan Kar Swee, 58, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata Kar Swee yang memandu bersendirian dari arah utara ke selatan memperlahankan lorinya ke lorong kiri selepas mendapati berlaku kemalangan di hadapannya.

"Pada masa sama, Mohamad Norhafiz gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang lori terbabit.

"Kejadian menyebabkan dia dan kelindan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

22 dibaca
Berita Harian X