Khamis, 4 Mei 2017 | 8:36am

4 treler berlanggar, 1 maut

ALOR GAJAH: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat treler masing-masing membawa muatan plastik, jubin, gabus dan tisu di Kilometer 208.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, pemandu treler muatan tisu, M Loganathan, 38, maut di tempat kejadian, manakala kelindannya, K Logaraj, 19, dan pemandu treler muatan gabus, Muhamad Fairuz Mislan, 33, cedera ringan.

Empat yang lain masing-masing pemandu dan kelindan treler muatan plastik dan jubin tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz, berkata treler muatan tisu itu dipercayai merempuh belakang treler muatan gabus.

"Ketika kejadian, tiga treler muatan plastik, jubin dan gabus berada sebaris di laluan paling kiri dari arah selatan menuju ke utara.

"Treler tisu itu dipercayai merempuh treler gabus, sebelum perlanggaran seterusnya antara treler jubin dan gabus," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

A Asmadi berkata, pemandu treler muatan tisu itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Kegagalan mangsa mengawal kenderaan menyebabkan berlaku perlanggaran.

"Mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan semua treler berkenaan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSAPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, " katanya.

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan maut membabitkan empat buah lori kontena dan treler di Kilometer 208.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Perhentian Restoran Jejantas Ayer Keroh.- Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Keadaan hadapan sebuah kontena yang remuk selepas merempuh belakang treler. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Mayat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.- Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Berita Harian X