Rabu, 3 Mei 2017 | 11:03pm

Piala AFC: Hatrik Guerra bantu JDT benam Magwe FC


PEMAIN JDT, Gabriel Guerra ketika menentang pasukan Magwe FC dalam saingan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara selepas menewaskan Magwe FC 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Lawan skuad Harimau Selatan adalah kelab dari Filipina Ceres Negro FC yang muncul juara Kumpulan G dan pertembungan itu akan diadakan di Larkin pada 17 Mei ini, manakala dua lagi pasukan yang layak adalah Home United dari Singapura dan Global FC (Filipina).

Di awal babak pertama, JDT dikejutkan dengan gol anak didik Zaw Win Tun pada minit ketujuh selepas bola sepakan percuma Hein Zar Aung tepat kepada Kyaw Swar Linn yang menanduk kemas menewaskan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.

Tersentak dengan gol awal itu, barisan pemain skuad Harimau Selatan kembali mengemaskan serangan, namun corak permainan wakil Myanmar yang bertindak merapati setiap pemain tuan rumah menyukarkan pergerakan.

Malang buat R Gopinathan yang melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-12 dan pantas menyambar bola umpanan Safiq Rahim namun ketika hanya berdepan penjaga gol, Kyaw Zin Phyo, rembatannya melepasi palang.

Asakan berterusan tuan rumah untuk memburu gol penyamaan akhirnya menjelma pada minit ke-14 selepas Gabriel Guerra yang tidak dikawal pantas melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti, tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Zin Phyo untuk mengikat kedudukan 1-1.

Seharusnya gol kedua mampu dihasilkan tuan rumah pada minit ke-20 apabila bola umpanan Azammuddin Akil membuka ruang buat Guerra merembat kencang tatkala berada di dalam kotak penalti namun hanya sipi dari gawang gol.

Serang balas pelawat hampir mengundang padah buat tuan rumah selepas Cho Tun berjaya melepasi kawalan Aidil Zafuan Abd Radzak pada minit ke-40 namun kegopohan menjadi penghalang apabila merembat bola melepasi palang tatkala Mohammad Haziq sudah tertewas.

Penguasaan ketara tuan rumah sebaik babak kedua bermula membuahkan hasil pada minit ke-58 apabila bola sepakan lintang Safiq tepat kepada Guerra untuk mencetak gol kedua peribadi selepas menanduk bola menewaskan Zin Phyo.

Tindakan pemain pertahanan Magwe FC menjatuhkan Safiq dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan Yudai Yamamoto tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78 dan Guerra melakar hatrik pertama pada saingan Piala AFC untuk memastikan kemenangan 3-1 buat JDT.

Berita Harian X