Rabu, 3 Mei 2017 | 10:23pm

Penjualan ekuiti Bandar Malaysia kepada IWH CREC luput

KUALA LUMPUR: Perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC), membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, kini terbatal berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, TRX City Sdn Bhd berkata, susulan pemeteraian SSA berkenaan, IWH dan CREC menyerahkan manfaat dan tanggungjawab kepada IWH CREC Sdn Bhd (IWH CREC) pada 21 Julai tahun lalu.

Menurut TRX City, biarpun lanjutan tempoh diberikan, IWH CREC terbukti gagal memenuhi tanggungjawab pembayaran sepertimana termaktub dalam syarat-syarat SSA yang ditandatangani pada 31 Disember 2015.

"Berikutan itu, SSA antara pihak terbabit terbatal berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Susulan itu, kata TRX City, dengan mengambil kira kepentingan nilai tanah Bandar Malaysia, Kementerian Kewangan selaku pemegang tunggal kepentingan TRX City, akan mengekalkan pemilikan 100 peratus terhadap kawasan itu bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat hasil daripada pembangunan kawasan terbabit.

Katanya, TRX City serta-merta akan mempelawa pihak yang berminat sebagai pemaju induk Bandar Malaysia dengan pemilikan penuhnya dikekalkan pada Kementerian Kewangan.

"Proses pemilihan akan membabitkan kriteria ketat, termasuk rekod, kelajuan penyerahan dan keupayaan kewangan untuk pembangunan berskala besar seperti ini.

"Ini adalah untuk meningkatkan semua aspek Bandar Malaysia, termasuk peranannya sebagai hab perniagaan, pengangkutan, kediaman dan pelancongan," katanya.

TRX City berkata, langkah diambil hari ini bertujuan memastikan tidak ada kesan memudaratkan terhadap pembangunan jangka panjang Bandar Malaysia dan apabila siap, tapak itu akan memenuhi kepentingan negara ke tahap lebih besar daripada sebelum ini.

Bandar Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara serta sebagai tapak pembangunan terbesar di Malaysia yang berada pada kedudukan strategik yang penting.

Ia akan menawarkan banyak peluang perniagaan, pelaburan dan pekerjaan, termasuk Kuala Lumpur Internet City, hab bagi Zon Perdagangan Bebas Digital baharu.

Bandar itu juga akan menjadi nukleus pengangkutan Malaysia, yang menghubungkan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura, jaringan MRT, KTM Komuter, Express Rail Link dan 12 lebuh raya.

Berita Harian X