Rabu, 3 Mei 2017 | 9:29pm

Pengurus besar, isteri ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Pengurus besar sebuah anak syarikat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi berhubung kes pengambilan rasuah membabitkan projek pembekalan peralatan bas.

Suspek yang berusia 54 tahun ditahan bersama isterinya yang berusia 50 tahun di ibu pejabat SPRM pada jam 6.30 petang tadi.

Difahamkan kes itu membabitkan penyalahgunaan kedudukan dan mengambil wang rasuah untuk kepentingan sendiri bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti bas dan pembaikan bas.

Sumber berkata, suspek dipercayai mengambil wang rasuah kira-kira RM500,000 sejak tahun 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan bawah penyeliaannya .

Sumber berkata, wang rasuah yang diterima juga telah dimasukkan ke dalam akaun milik isterinya sejak tahun 2013 .

Pengarah Siasatan SPRM, Dato Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kedua-duanya akan direman esok untuk membantu siasatan kes terbabit.

Kes akan disiasat mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang mana jika disabitkan kesalahan akan berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan.

Berita Harian X