Rabu, 3 Mei 2017 | 5:11pm

4,500 koperasi belum sertai ANGKASA


PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah beramah mesra dengan hadirin pada majlis perasmian Dialog Bersama Koperator Wanita Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SEREMBAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meminta koperasi yang belum menyertai badan itu supaya segera berbuat demikian demi memperkukuhkan gerakan koperasi di negara ini.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata ketika ini terdapat kira-kira 13,500 koperasi yang dianggotai lapan juta ahli di negara ini dan daripada jumlah itu, hanya 9,000 koperasi bernaung di bawah ANGKASA.

Katanya, ini bermakna baki 4,500 koperasi dengan kira-kira sejuta ahli masih belum menyertai ANGKASA.

"Bergabung dalam ANGKASA membolehkan koperasi meraih manfaat ekonomi yang lebih besar, selain mewujudkan rangkaian kerjasama dengan koperasi lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Dialog Bersama Koperator Wanita Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Fattah mahu 246 koperasi dengan kira-kira 31,000 ahli adalah 100 peratus wanita, menggunakan sepenuhnya portal komuniti dan e-kooperatif, MAYA2U.com, bagi membolehkan produk dipasarkan sehingga ke luar negara.

Katanya, portal yang dilancarkan Mac lalu, berfungsi sebagai alat pemasaran yang menghimpunkan produk dan perkhidmatan koperasi yang menyertai ANGKASA.

"Dalam persekitaran perniagaan penuh persaingan sekarang, usahawan wanita perlu kreatif untuk memasarkan produk di pasaran terbuka, termasuk menggunakan pelbagai teknologi yang ada," katanya.

Beliau berkata, ini membolehkan koperasi mendapat pelbagai peluang menerokai pasaran baharu yang menguntungkan ahli.

Berita Harian X