Rabu, 3 Mei 2017 | 4:55pm

Tawar pembedahan estetik tanpa lesen, 2 pengarah syarikat didenda

JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat kecantikan dan dua pengarahnya termasuk seorang doktor didenda RM95,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyediakan pusat jagaan ambulatori yang menawarkan pembedahan estetik tanpa lesen, dua tahun lalu.

Tertuduh Dr Suzana Hasnan, 52, dan Eng Kwi Lah, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM25,000 setiap seorang, manakala syarikat Seoul Beauty (M) Sdn Bhd dikenakan denda RM45,000.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang bertanggungjawab kepada Seoul Beauty (M) Sdn Bhd didapati menyediakan satu pusat jagaan ambulatori swasta tanpa lesen di Jalan Molek 1/5A, Taman Molek di sini, pada kira-kira jam 12.45 tengahari, 3 September 2015.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Perenggan 3(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum mengikut Sub Perenggan 5(2)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara hingga enam tahun jika sabit kesalahan.

Seoul Beauty (M) Sdn Bhd didakwa mengikut Perenggan 3(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum mengikut Sub Perenggan 5(1)(b)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Lim Chon Sin.

Berita Harian X