Rabu, 3 Mei 2017 | 1:25am

Militan Daesh serang hendap, 10 tentera Mali maut

BAMAKO: Sekurang-kurangnya 10 tentera Mali terbunuh dan sembilan cedera hari ini dalam serangan hendap di wilayah tengah Mali, semalam.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Diarran Kone berkata, konvoi itu diserang semalam di antara bandar Diabaly dan Nampala.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka kematian, namun askar di wilayah itu yang enggan dikenali mengesahkan 10 tentera terbunuh.

Walaupun tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu, suspek utama ialah militan Daesh yang beroperasi di kawasan yang bergolak di tengah wilayah Mali.

Sepanjang minggu lalu, saksi menyatakan berpuluh-puluh puak militan itu kelihatan di kawasan itu.

Tentera Mali dan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sering kali menjadi sasaran serangan seperti itu. AP

Berita Harian X