Khamis, 8 Januari 2015 | 9:59am

Sehati-sejiwa, selamanya Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Ultras Malaya diharap terus berjuang memartabatkan budaya menyokong bola sepak Malaysia ke arah pembentukan skuad kebangsaan yang disegani.

Matt Le Tissier, antara pengendali laman web di Facebook, HarimauMalaya, yang sehingga kini mengumpulkan lebih 1.3 juta peminat sukan di negara ini, berkata ini berikutan kekecewaan peminat sukan itu terhadap prestasi skuad Harimau Malaya pada kempen Piala Asia 2007.

Mengimbas kembali kekecewaan ketika itu, beliau berkata, seorang penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Sky mewujudkan satu forum menerusi laman web atas nama harimaumalaya.com (HMC) bagi membuka ruang perbincangan dalam kalangan peminat sukan.

Katanya, forum itu menemukan Freddie Ben Arifin yang kemudian mengasaskan fahaman ultras dengan membentuk kumpulan dinamakan Ultras Malaya bagi menyatakan sokongan terhadap skuad Harimau Malaya.

Bermula di Stadium MBPJ

Matt Le Tissier yang turut terbabit membantu mengembangkan Ultras Malaya berkata, atas dasar cintakan bola sepak, anak muda yang terdiri daripada penuntut Institut Perguruan Bangsa Antarabangsa (IPBA), pengikut setia bola sepak Malaysia dan bekas penuntut dari universiti luar negara, bertekad mendapatkan balik sokongan penyokong yang memandang sepi skuad kebangsaan.

Katanya, bermula dengan agak perlahan, HMC mengorak langkah dengan hampir 5,000 pengikut selepas beberapa bulan, rata-rata terdiri daripada anak muda penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, menjadi saksi kehadiran HMC dan Ultras Malaya bergabung sebagai pemain ke-12 pasukan Malaysia dalam Pestabola Merdeka 2007. Medium di laman web HMC digunakan sebaiknya untuk mengembalikan sokongan padu penyokong Malaysia.

"Kami berjaya menukarkan Stadium MBPJ yang lengang kepada suasana gegak-gempita. Apabila jumlah penyokong bertambah selepas Malaysia yang diwakili skuad bawah 23 tahun layak ke separuh akhir menentang musuh tradisi Singapura, kami sering dimaki hamun penyokong lain kerana membuat bising dengan chant atau lagu yang dilaungkan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak mematahkan semangat anak muda ini apabila hasil sokongan mereka, Malaysia muncul juara selepas menumpaskan Myanmar 3-0 di pentas final.

Sehingga kini, katanya, HMC terus memberi sokongan kepada perjuangan Ultras Malaya yang dianggap berjaya menarik kembali penyokong tempatan ke stadium untuk menyaksikan kebangkitan skuad Harimau Malaya.

Berita Harian X