Selasa, 2 Mei 2017 | 6:51pm

KESTURI nasihat guna laluan alternatif elak kesesakan

KUALA LUMPUR: Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) menasihatkan pengguna jalan raya dari Taman Bukit Maluri, Bandar Manjalara dan Sri Sinar supaya menggunakan laluan lencongan alternatif berdekatan Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL).

Laluan alternatif itu dicadangkan berikutan penutupan jalan di Taman Bukit Maluri bagi memberi ruang kepada projek Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2.

KESTURI dalam satu kenyataan hari ini, berkata pengguna jalan raya yang ingin menuju ke Sri Damansara dan Sungai Buloh pula boleh menggunakan jalan di bawah persimpangan bertingkat Sungai Buloh dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Menurut kenyataan itu, pengguna jalan raya juga boleh menggunakan susur keluar dan membuat pusingan U di Jalan Kepong Garden untuk ke Sungai Buloh.

"Penutupan jalan ini akan berterusan secara berperingkat hingga September ini, untuk kerja pembinaan jejambat bagi projek berkenaan.

"Ia terpaksa dilanjutkan berikutan masalah teknikal di tapak bina, keadaan tanah, pemindahan dan pengalihan utiliti," katanya.

Pada masa sama, KESTURI berharap semua pengguna jalan raya terbabit memandu dengan lebih berhati-hati, selain mematuhi arahan pegawai trafik dan papan tanda lalu lintas yang diletakkan di sekitar kawasan tapak pembinaan.

"KESTURI juga memohon maaf kepada semua pengguna berkenaan di atas segala kesulitan yang dihadapi sepanjang tempoh kerja pembinaan dijalankan.

"Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari web rasmi DUKE, www.duke.com.my atau hubungi talian DUKE di 03 6251 3100," katanya.

Berita Harian X