Selasa, 2 Mei 2017 | 6:06pm

Polis tahan 7 suspek, rampas dadah RM490,000


KETUA JSJN Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM490,000 yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada Jumaat lalu dan semalam, pada sidang media di Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita warga Vietnam dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM490,000 dalam dua serbuan berasingan pada Jumaat lalu dan semalam.

Suspek berusia antara 25 hingga 56 tahun itu, ditahan dalam operasi khas yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah di Johor.

Ketua JSJN Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket, berkata enam suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pelangi Indah di sini, kira-kira jam 1 pagi, Jumaat lalu.

Katanya, susulan serbuan itu, polis menemui 122 paket bungkusan kecil disyaki serbuk ekstasi seberat 1.68 kilogram, pil Erimin 5 (100 biji), heroin (528 gram) dan ketamin (252 gram).

"Polis turut merampas pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk membungkus dadah berkenaan, antaranya alat timbang, plastik lutsinar dan mesin kira.

"Dalam serbuan itu, polis turut menyita tiga kenderaan, wang tunai RM10,850 dan SGD$850 (RM2,635)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Lukas berkata, seorang lagi suspek berusia 26 tahun ditahan di hadapan sebuah pusat hiburan di Muar, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis turut merampas pelbagai jenis dadah daripada suspek, antaranya serbuk ekstasi (3.72 gram), pil ekstasi (104 biji) dan Erimin 5 (71 biji).

"Kita percaya bekalan dadah yang dirampas itu untuk kegunaan pasaran tempatan dan diedar ke pusat hiburan," katanya.

Lukas berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek positif dadah dengan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berita Harian X