Selasa, 2 Mei 2017 | 3:03pm

Dadah, kenderaan bernilai lebih setengah juta dirampas


DATUK Rosli Ab Rahman (dua dari kanan) bersama Lam Thiam Huat (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas di daerah Maran dan Kuantan. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Polis Pahang merampas pelbagai jenis dadah dan dua kenderaan bernilai RM522,185 daripada tiga suspek dipercayai pengedar dadah dalam dua serbuan berasingan, hujung minggu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Ab Rahman, berkata ia adalah kejayaan terbesar direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kuantan dan kawasan Pahang Barat.

"Dalam serbuan pertama pada 30 April lalu, kita menahan dua lelaki berusia lingkungan 40-an ketika berada dalam kenderaan di Lorong Bukit Setongkol, dekat sini.

"Pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah dadah jenis heroin seberat 4.529 kilogram (kg) dianggar bernilai RM113,225, syabu seberat 1.208 kg bernilai RM84,595 dan dua kenderaan dipercayai milik suspek hasil kegiatan pengedaran dadah," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JSJN IPK Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat.

Rosli berkata, terdahulu pihaknya menahan seorang suspek berusia 41 tahun di Hentian Plaza Tol Chenor, dekat Maran pada 28 April lalu.

Katanya, suspek ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan menemui 3.75 kg dadah jenis heroin dianggar bernilai RM93,775, syabu seberat 0.536 kg (RM37,590) dan 500 pil Eramin 5 bernilai RM500.

"Semua suspek yang positif dadah direman manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Berita Harian X