Selasa, 2 Mei 2017 | 6:00am
PEMILIK dan pemgasas ,Sohhor Boutique, Azhani. - Foto Ihsan Pembaca

Sohhor Boutique tampil busana eksklusif


ANTARA koleksi Skasa Abaya Collection dari Sohhor boutique. - Foto Ihsan Pembaca

KUALA LUMPUR: Saranan anak saudara untuk mengambil bahagian dalam Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH '17), menimbulkan minat pengasas bersama, Sohhor Boutique, Azhani Azmi mengetengahkan pakaian eksklusif Muslimah jenama itu, di Konvensyen Shah Alam (SACC), pada 2 hingga 4 Jun depan.

Azhani berkata, melihat pada promosi dilakukan FMBH'17 menjadikan beliau teruja untuk menjual koleksi kebaya, abaya, gaun labuh dan kardigan yang sebelumnya dijual secara eksklusif.

Katanya, selepas melihat promosi FMBH '17 itu tidak mahu melepaskan peluang menyertai karnival beli-belah ini.

"Sebelum ini, saya banyak menyertai acara jualan di konvensyen dan seminar berunsur Islamik. Malah, pembeli koleksi busana saya kebanyakannya dalam kalangan mualaf yang baharu memeluk Islam.

"Mereka membeli kerana koleksi kami memenuhi pakaian menutup aurat sesuai untuk pelbagai acara termasuk menghadiri majlis yang memerlukan mereka tampil sopan," katanya kepada BH.

Dapat bertemu pelanggan

Azhani berkata, beliau ingin mencuba menyertai karnival beli-belah seumpama ini kerana diadakan di lokasi tumpuan orang ramai terutama ketika orang ramai sibuk menyediakan persiapan Aidilfitri.

Justeru, beliau yang sudah empat tahun terbabit dalam perniagaan pakaian Muslimah, yakin dengan prinsipnya menghasilkan koleksi busana eksklusif dan unik dengan kuantiti terhad mampu menarik perhatian pelanggan.

"Meskipun, butik mempunyai laman sosial sendiri, ia hanya mempamerkan koleksi terbaharu dan sedia ada untuk pelanggan menilai keindahan dan kualiti fabrik.

"Kami menggalakkan pelanggan datang ke butik untuk mencuba dan melihat sendiri apa yang ditawarkan di butik ini," katanya.

Jatuh cinta pandang pertama

Azhani berkata, dengan berkunjung ke butik, pelanggan boleh memilih sendiri pelbagai rekaan fesyen busana, fabrik, material dan aksesori yang majoriti diimport dari luar negara antaranya Dubai, Abu Dhabi dan Korea.

"Saya memberi jaminan pakaian yang dibeli bukan saja berkualiti tetapi hanya eksklusif. Justeru, kami hanya mengeluarkan lima pakaian dengan rekaan dan corak sedondon," katanya yang menjelaskan harga bermula RM300 sepasang.

Ditanya mengenai strategi memikat pelanggan, beliau berkata sempena FMBH'17 menampilkan dua koleksi, iaitu Sohhor kebaya dan Skasa Abaya.

"Saya mahu pelanggan jatuh cinta pandang pertama dengan keunikan ilham rekaan di samping kualiti yang memuaskan.

"Saya akur dengan kuasa beli yang semakin menurun, namun tetap percaya golongan muda sentiasa mahukan perkembangan terkini dalam dunia fesyen," katanya.

Penyertaan di FMBH'17 bakal membuka lembaran dalam perniagaannya menerusi pendedahan yang akan diterimanya kelak.

"Setakat ini, kardigan dan gaun adalah koleksi paling tinggi dibeli pelanggan di butiknya terletak di Bangi Sentral," katanya.

Info:

Fiesta Muslimah BH 2017

  • Lebih 10 artis sertai FMBH'17
  • Liza KoolFM bakal kendalikan fiesta
  • Mawi dan Siti Nordiana akan buka gerai jualan
  • FMBH'17 edisi ketiga berkonsepkan Pasar Lokal
16 dibaca
Berita Harian X