Isnin, 1 Mei 2017 | 4:50pm

Perodua Bezza kini di Mauritius


PRESIDEN merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh dan Pengarah Urusan Raouf Dusmohamud & Co Ltd, Raouf Dusmohamud.

KUALA LUMPUR: Perodua Bezza keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), kini memasuki pasaran Mauritius, sekali gus menjadikannya destinasi eksport kedua bagi kereta sedan itu.

Ia diedarkan menerusi pengedar sah, Raouf Dusmohamud & Co Ltd.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata Mauritius adalah destinasi strategik kerana ia salah satu daripada destinasi pelancongan popular di dunia.

"Dengan menempatkan Perodua Bezza di situ, ia akan memberikan pendedahan kami di peringkat global," katanya menerusi satu kenyataan.

Perodua Bezza yang dilancarkan di pulau berkenaan didatangkan dalam varian 1.0L transmisi manual dan automatik serta 1.3L Premium X transmisi manual dan automatik.

Pelancaran kereta sedan berkenaan diadakan di bilik pameran jualan Rauf Dusmohamud & Co Ltd di Port-Louis, Mauritius, pada satu majlis, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Raouf Dusmohamud & Co Ltd, Raouf Dusmohamud.

Sementara itu, Dusmohamud, berkata syarikatnya menyasarkan jualan purata 168 unit Perodua Bezza sebulan atau kira-kira 2, 016 unit setahun.

"Kami menyasarkan kepada perniagaan kereta sewa, teksi bandar, golongan muda profesional dan mereka yang baharu berkahwin.

"Perodua Bezza adalah satu kereta yang luar biasa kerana penggunaan bahan api yang cekap, kos pemilikan rendah, menyediakan kapasiti ruang lebih luas dan direka dengan baik.

"Kami yakin model berkenaan akan diterima dengan baik oleh masyarakat di Mauritius," katanya.

Info:

* Perodua Bezza 1.0L transmisi manual berharga 562,884 Mauritian Rupees (RM70,405.35) dan transmisi automatik berharga 589,268 Mauritian Rupees (RM73,705.45)

* Bezza 1.3L Premium X transmisi manual berharga 657,699 Mauritian Rupees (RM 82,264.78) dan transmisi automatik berharga 684,990 Mauritian Rupees (RM 85,678.33)

Berita Harian X