Isnin, 1 Mei 2017 | 3:24pm

Keputusan tahaluf dengan PKR akan diputuskan segera


SETIAUSAHA Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh. - Foto Ramdzan Masiam

ALOR SETAR: Majlis Syura Ulama PAS akan memuktamadkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR secepat mungkin berasaskan ilmu dan Siyasah Syar'iyyah.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, bagaimanapun mahu ahli parti memberikan walak (kesetiaan) sepenuhnya kepada majlis itu serta kepemimpinan PAS pusat dalam merangka gerak kerja seterusnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Beliau juga mengingatkan, sebarang keputusan yang akan dibuat berkaitan tahaluf siyasi dengan PKR, usahlah bersifat yang dikejar tidak kedapatan dan yang dikendong keciciran.

"Satu kematangan perwakilan apabila menyerahkan urusan memutuskaan hubungan kepada Majlis Syura Ulama, yang membawa erti keputusan kita membentuk dan membatalkan tahaluf berdasarkan Siyasah Syar'iyyah," katanya.

Muhammad Zawawi berkata, PAS mampu menjadi parti yang disegani dan berdiri tegak serta boleh menentukan hala tuju kerajaan atau parti dengan dokongan kuat ahlinya.

Berita Harian X