Isnin, 1 Mei 2017 | 1:44pm

Majlis Syura Ulama paling layak putuskan isu PKR


KETUA Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed. - Foto Adi Safri

ALOR SETAR: Majlis Syura Ulama (MSU) PAS adalah organisasi yang paling tepat untuk menilai dan memuktamadkan sebarang keputusan membabitkan tahaluf siyasi dengan mana-mana parti politik termasuk PKR.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata pihaknya yang pernah mengusulkan mengkaji semula tahaluf siyasi dengan DAP juga menyerahkan MSU untuk membuat keputusan pada muktamar terdahulu di Kuala Seangor, Selangor.

"Maka kali ini, kami dan beberapa kawasan menyerahkan kepada MSU untuk isu berkaitan PKR kerana tindakan parti terbabit jelas melanggar apa yang dipersetujui dalam tahaluf siyasi.

"Tahaluf siyasi adalah dasar dan hukum maka disebabkan itulah, amat bertepatan menyerahkan kepada MSU untuk menilainya semula dan membuat sebarang keputusan muktamad," katanya pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke 63 di sini hari ini.

Semalam, Muktamar kali ini meluluskan usul supaya tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan dengan ia dipersetujui sebulat suara perwakilan.

Usul terbabit sebelum ini juga diluluskan Dewan Ulama PAS dan Dewan Pemuda PAS dan akan dirujuk kepada MSU untuk dimuktamadkan.

Usul putus hubungan tahaluf siyasi dengan PKR diletakkan dalam kategori usul diterima untuk dibahas bersama empat lagi usul.

Mahfodz berkata, keputusan terbabit wajar kerana MSU juga yang membuat keputusan apabila PAS mengadakan tahaluf siyasi dengan parti politik lain termasuk parti bukan Islam.

"Dulu, MSU juga yang membuat keputusan bertahaluf siyasi dan apabila dinilai dan difikirkan semasak-masaknya yang mengambil masa dua tahun. Akhirnya Majlis Syura membenarkan tahaluf siyasi dilakukan," katanya.

Berita Harian X