Isnin, 1 Mei 2017 | 1:42pm

Afgan ingin pasar album Inggeris di Eropah


AFGAN membuat persembahan pada cara An Intimate Evening with Afgan and The Gandarianz di Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Afgan, meluahkan hasrat mahu menghasilkan album berbahasa Inggeris sepenuhnya yang diharap dapat dipasarkan di Eropah.

Pemilik nama sebenar Afgansyah Reza, 28, itu berkata pengalaman bekerja bersama penerbit yang pernah berkolaborasi dengan Ed Sheeran dan Craig David menyemarakkan semangatnya untuk merealisasikan produk terbabit.

"Buat masa ini, saya mempunyai perancangan menerbitkan album penuh Inggeris. Ketika ini proses mencari material untuk album itu giat dilakukan, namun saya masih mencari produser yang sesuai, mungkin dari Eropah.

"Dalam album sebelum ini, saya pernah bekerja dengan penerbit dari United Kingdom bernama Mark Hill. Beliau antara produser bagi album ramai penyanyi antarabangsa termasuk Ed Sheeran dan Craig David.

"Sememangnya, hasrat melebarkan langkah ke arena global antara perancangan jangka panjang kami. Semestinya juga saya perlu memilih penerbit yang tepat untuk tujuan itu.

"Berbanding Amerika Syarikat, saya mahu merakamkan album dan memasarkannya di Eropah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjayakan acara An Intimate Evening with Afgan and The Gandarianz di Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur.

Pada masa sama, penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu memaklumkan beliau belum mempunyai perancangan membeli hartanah di ibu negara ini walau boleh dikatakan saban bulan 'turun' ke Malaysia memenuhi undangan persembahan.

Berita Harian X