Isnin, 1 Mei 2017 | 1:32pm

Parti 'pak lebai' akan jadi benteng anti Islam


MUHAMMAD Khalil Abdul Hadi. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: PAS sebagai parti 'pak lebai' bertekad akan menjadi benteng mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan negara daripada anasir anti Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata suara sinis dilontarkan musuh dan bekas rakan 'tahaluf siyasi' tidak akan menggoyahkan perjuangan parti itu.

Katanya, PAS menerusi kepemimpinan ulama akan terus istiqamah dan menegakkan syiar Islam walaupun terpaksa berjuang secara bersendirian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Walaupun ada suara sinis, parti 'pak lebai' inilah yang ternyata bersih daripada fahaman sekular semata-mata, malah kita berjaya 'melebaikan' ramai aktivis dan golongan profesional.

"Oleh itu, parti 'pak lebai' inilah yang akan terus menjadi benteng agama dan negara," katanya pada sesi penggulungan Muktamar PAS Ke-63, di sini sebentar tadi.

Pertama kali menyampaikan ucapan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang baharu, Muhammad Khalil berkata, PRU-14 bakal menyaksikan pertembungan dua kelompok, iaitu armada untuk memartabatkan Islam dan anasir menentang Islam.

Sehubungan itu, katanya, PAS menerusi pendekatan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) akan memperteguhkan kedudukan Islam dengan mendekati golongan muda yang sering dimomokkan fahaman Islam liberal dan sekular.

"Dalam masa sama, kita sedia menanti keputusan untuk memuktamadkan politik murahan yang diamalkan segelintir pihak dalam menggerakkan pelbagai serangan menghina Islam.

"Dewan Pemuda PAS yang berdiri teguh di belakang kepemimpinan ulama tidak akan sesekali membiarkan imej Islam dihinjak dan diperlekehkan puak liberal dan sekular ini," katanya.

50 dibaca
Berita Harian X