Ahad, 30 April 2017 | 6:44pm

Muktamar PAS lulus putus `tahaluf siyasi' dengan PKR


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendengar ucapan perbahasan dasar presiden daripada pembahas sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Muktamar PAS Ke-63 sebentar tadi meluluskan usul supaya `tahaluf siyasi' dengan PKR diputuskan.

Keputusan meluluskan usul itu dipersetujui sebulat suara perwakilan sebelum Pengerusi Tetap PAS Pusat, Hussin Ismail memaklumkan ia akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulama PAS untuk dimuktamadkan.

Usul putus hubungan dengan PKR diletakkan dalam kategori usul diterima untuk dibahas bersama empat lagi usul.

Terdahulu, usul itu dibentangkan wakil Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkefli Ismail sebelum dibahas dan disokong perwakilan PAS Pasir Mas, Fadzli Shaari.

Zukifli berkata, kerjasama perlu diputuskan kerana PKR jelas bukanlah rakan yang boleh dipercayai sama sekali.

Beliau berkata, tindakan pembabitan PKR menyokong calon Parti Amanah Negara (PAN) dan menentang PAS dalam dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah bukti semangat setia kawan tidak dihormati.

"Kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 malah dilihat turut bersama dengan pendirian DAP yang menentang keras pindaan berkenaan.

"Selain itu, kenyataan pimpinan PKR secara terbuka yang jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS sekali gus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan," katanya.

Berita Harian X