KLUANG: Lawatan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, amat bersejarah berikutan ia adalah lawatan pertama pemimpin tertinggi negara berkenaan sejak terjalinnya hubungan diplomatik di antara kedua negara 43 tahun lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang menjadi Menteri Pengiring baginda berkata, lawatan Raja Bahrain itu membuktikan Malaysia bukan sahaja dianggap negara penting, malah kepemimpinan negara diiktiraf.
Raja Hamad dijangka tiba di Malaysia malam ini.
Katanya, Raja Hamad akan diberi sambutan rasmi negara di Dataran Parlimen, esok dan dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.
"Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman bdulaziz Al Saud bulan lalu dan kini Raja Bahrain membuktikan kejayaan Malaysia dalam pelbagai aspek, termasuk kepemimpinannya diiktiraf dunia dan kita berada di landasan yang betul.
"Sepanjang lawatan, pelbagai kerjasama membabitkan pertahanan serta risikan, ekonomi, perindustrian, agama, pendidikan dan pelancongan akan menjadi fokus utama.
"Lawatan ini akan turut menjadi platform kepada kedua-dua negara untuk membincangkan isu semasa, termasuk ancaman penyebaran dakyah dan ideologi pengganas terutama kumpulan militan Daesh, yang semakin menular ke seluruh dunia " katanya.