Ahad, 30 April 2017 | 2:46pm

Ahli tentukan tahaluf siyasi bersama PAS - Hishammuddin


DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein berucap ketika majlis perasmian penutup Program Ziarah Kasih Sayang dan Kem I Want Sihat Parlimen Sembrong di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, Taman Sri lambak, Kluang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KLUANG: Keputusan sama ada UMNO perlu mengadakan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PAS hanya boleh ditentukan ahli parti serta akar umbinya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu bukan tertakhluk kepada keputusan kepemimpinan parti sebaliknya suara majoriti ahli parti.

Katanya, UMNO dan PAS sememangnya sudah mengadakan kerjasama membabitkan Islam dan kepentingan ummah.

"Namun, dari segi kerjasama politik atau tahaluf siyasi bersama PAS itu, bukan untuk saya selaku Naib Presiden mahu pun Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, yang berhak menentukan agenda sebegitu besar.

"Ahli UMNO serta akar umbi yang perlu tentukan sendiri sama ada kita perlu bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)," katanya.

Beliau mengulas kemungkinan UMNO mengadakan kerjasama politik dengan PAS susulan Dewan Pemuda PAS meluluskan usul sebulat suara memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Keputusan itu ditetapkan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-58 di Kompleks PAS Negeri Kedah, di Kota Sarang Semut, Kedah, Jumaat lalu.

Terdahulu, Hishammuddin menutup Program Ziarah Kasih Sayang: Jururawat Pelatih Masuk Kampung di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Berita Harian X