Ahad, 30 April 2017 | 2:13pm

Kemelut pembangkang menjelang PRU-14


KERATAN akhbar BH.

Keputusan PAS untuk mengakhiri tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan desakan Dewan Pemuda supaya dijatuhkan talak tiga, memang sudah dijangka.

Ia kini cuma menunggu kata putus Majlis Syura Ulama PAS. Sebelum ini, PAS sudah bercerai talak tiga dengan DAP dan berdasarkan perkembangan semasa, agak sukar untuk kedua-duanya 'berkahwin semula'... melainkan melalui kaedah 'cina buta', sesuatu yang jarang berlaku dalam dunia nyata tetapi tidak mustahil dalam dunia politik, hatta 'bakar jambatan' pun tak menjadi abu.

Satu lagi perkara menarik ialah ketegasan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dianggapnya sebagai 'parti tidak ada ketentuan arah kerana pemimpin kita tak tahu, siapa imam, siapa makmum'.

Pendeknya, PAS tiada lagi kena mengena dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM.

Maka, akan timbul masalah dalam pentadbiran kerajaan Selangor kerana PAS dengan 13 kerusi DUN, kemungkinan tersingkir tetapi ia tidak sampai menjatuhkan kerajaan negeri kerana PKR-DAP-PAN masih mengekal majoriti tipis dalam DUN, walaupun PAS dan BN berniat untuk bergabung.

Dalam hal ini, PAN mungkin beruntung jika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menggantikan semua tiga EXCO PAS termasuk puluhan jawatan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada wakil PAN.

Ini impak segera yang terpaksa dihadapi PAS dan faktor ini mungkin akan turut diambilkira oleh Majlis Syura Ulama PAS sebelum membuat keputusan muktamad.

Bagaimana pula impaknya pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14) nanti? PH dijangka memberi laluan kepada PAN dan PKR untuk bersaing dengan PAS.

Saingan tiga penjuru

BN, terutama UMNO juga akan terpaksa mereka hadapi - saingan tiga penjuru kecuali PAS dan UMNO mewujudkan persefahaman, sesuatu yang memerlukan penelitian lanjut kerana semalam Hadi menyebut PAS mahu menawan lima negeri - Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pahang - pada PRU14 selain sasaran untuk menang 40 kerusi Parlimen.

Pembentukan blok ketiga politik seperti diumumkan PAS sebelum ini, untuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), belum nampak akan keberkesanannya walaupun semalam Hadi mahu konsep Gagasan Sejahtera, iaitu gagasan baharu yang lebih bersifat setiakawan, membabitkan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh pelbagai kaum dan masyarakat majmuk, untuk berdepan PRU-14.

Hakikatnya, PAS ada kekuatan tersendiri hingga menyebabkan PKR bagaikan tidak mahu 'melepas' PAS berdasarkan kenyataan Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam bahawa ia masih menunggu keputusan Majlis Syura Ulama PAS.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa BH)

Berita Harian X