Ahad, 30 April 2017 | 1:47pm

Malaysia perketat kawalan sempadan negara

DATUK Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Malai Rosmah Tuah

KLUANG: Malaysia akan memperketatkan kawalan di kawasan perairan timur Sabah serta sempadan negara susulan kematian pemimpin militan Abu Sayyaf paling dikehendaki, Al Habsi Misaya, yang dilaporkan terbunuh Jumaat lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu adalah penting bagi mengelakkan anggota militan berkenaan melarikan diri ke negara ini.

Katanya, ia berikutan tekanan serta operasi pasukan keselamatan Filipina yang semakin agresif mengesan saki-baki kumpulan militan berkenaan di Kepulauan Jolo.

"Kita mengesahkan bahawa satu daripada pengganas paling dikehendaki Malaysia, Al Habsi Misaya, mati terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan tentera laut Filipina Jumaat lalu di Jolo.

"Ini adalah hasil daripada tekanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Filipina yang akhir-akhir ini melakukan operasi secara besar-besaran di kawasan kepulauan berkenaan.

"Malaysia akan mengetatkan lagi kawalan di perairan dan sempadan negara bagi mengelakkan saki baki anggota militan berkenaan yang semakin tertekan melarikan diri dan memasuki sempadan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Program Ziarah Kasih Sayang: Jururawat Pelatih Masuk Kampung di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Al Habshi dilaporkan terbunuh dalam pertempuran senjata dengan pasukan tentera laut Filipina kira-kira jam 9.30 malam Jumaat lalu, yang mempertingkatkan operasi mengesan pemimpin serta anggota militan Abu Sayyaf.

Al Habsi adalah antara pengganas paling dikehendaki di negara ini serta adalah satu daripada empat komander Abu Sayyaf yang mengarahkan aktiviti penculikan besar-besaran di Sabah dan sempadan laut selatan Filipina.

Berita Harian X