Ahad, 30 April 2017 | 1:40pm

Projector Band belum terfikir tubuh kelab peminat


PROJECTOR Band yang dianggotai oleh Muhammad Saffiq Zainuddin, Isnaidi Eidham Razali, Iskandar Zulkarnain Shafin, Razif Zainuddin dan Ahmad Khusairi Shaferi.- Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Kumpulan yang terkenal dengan lagu Sudah Ku Tahu, Projector Band, belum mempunyai kelab peminat rasmi sehingga kini.

Mereka yang turut dicalonkan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 dalam kategori Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, lebih selesa menjadikan laman sosial sebagai ruang untuk penyokong kumpulan terbabit mendapatkan maklumat mengenai aktiviti dan perkembangan terkini Projector Band.

Instagram rasmi kumpulan berkenaan sehingga kini diikuti oleh lebih 80,000 peminat.

"Kami belum mempunyai perancangan untuk menubuhkan kelab peminat buat masa ini. Namun, pada masa akan datang, siapa tahu jika kelab terbabit direalisasikan juga.

"Apa pun, Alhamdulillah, sehingga kini sokongan peminat dan penyokong terhadap kami tidak pernah putus. Biarpun baru setahun jagung dalam dunia muzik, sokongan mereka menjadi pembakar semangat untuk kami melangkah dalam bidang ini," kata anggotanya, Angah atau nama sebenarnya, Razif Zainuudin.

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2013 itu ketika ini rancak mempromosikan single terbaharu mereka yang berjudul Pasti Ada Kamu.

Mengenai single terkini mereka, akui Angah, memang ada kalangan peminat yang membandingkan lagu berkenaan dengan single popular mereka sebelum ini, yang turut diangkat sebagai pemenang ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-31.

"Menjadi lumrah apabila peminat cuba membandingkan lagu baharu kami dengan Sudah Ku Tahu. Begitupun, setakat ini sambutan diberikan terhadap lagu Pasti Ada Kamu sangat positif.

"Jika diikutkan, kami memang mempunyai lagu yang rentaknya hampir sama dengan Sudah Ku Tahu. Namun, kami cuba mempelbagaikan karya dendangan kumpulan ini, selain muncul dengan genre yang sedikit berbeza.

"Bagi kami, kelainan adalah perlu dalam memastikan kelangsungan kumpulan ini di arena seni dan sebagai usaha untuk terus memikat hati peminat muzik. Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, kami akan keluarkan album penuh pula pada tahun ini," kata Angah lagi.

Selain Angah, 24, yang juga pemain gitar, Projector Band turut dianggotai Iskandar Zulkarnain Shafin, 23 (Is / vokalis); Ahmad Khusairi Shaferi, 26 (Mat / bes); Isnaidi Eidham Razali, 21 (Edi / gitar kedua) dan Muhammad Syafiq Zainuddin, 22 (Apit / dram).

Baru-baru ini, kumpulan ini turut diumumkan sebagai pemenang anugerah K-20 Red Box ketika berlangsungnya malam penghargaan media di pusat beli-belah Pavilion, di sini.

Sudah Ku Tahu dendangan mereka antara 20 lagu karaoke Melayu dan Inggeris paling popular di pusat hiburan berkenaan, tahun lalu.

Berita Harian X