Rabu, 7 Januari 2015 | 7:00pm

Puncak Niaga pelbagaikan kegiatan dalam sektor pertanian, pembinaan

SHAH ALAM: Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) merancang untuk mempelbagaikan perniagaannya dalam sektor pertanian dan pembinaan susulan penjualan aset airnya kepada Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB).

Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Rozali Ismail, berkata syarikat turut menjangkakan lima hingga 10 peratus pertumbuhan dalam perolehan minyak dan gas pada masa depan.

Perniagaan minyak dan gas ketika ini menyumbang kira-kira 30-40 peratus kepada perolehan PNHB.

"Bagi 2015, kami akan menumpukan kepada perniagaan (kejuruteraan) persekitaran dan air sisa, manakala pada masa sama mempelbagaikan dalam perniagaan pertanian dan pembinaan," katanya selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) PNHB di sini hari ini.

Ditanya sama ada PNHB menerima kesan daripada kemerosotan harga minyak semasa, Rozali berkata syarikat tidak terjejas secara langsung berikutan ia tidak terbabit dalam segmen penerokaan tetapi dalam segmen penyelenggaraan dan perkhidmatan.

PNHB memperoleh kontrak tiga tahun bernilai RM500 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd pada tahun pertama, katanya.

Syarikat turut meninjau ASEAN sebagai pasaran yang berpotensi untuk mengembangkan kepakarannya dalam sektor perkhidmatan air.

Pada EGM itu, pemegang saham meluluskan dua resolusi untuk menjual 100 peratus dan 70 peratus kepentingan, masing-masing dalam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), anak syarikat milik penuh KDEB, dengan jumlah pembayaran tunai sebanyak RM1.56 bilion.

Rozali berkata pemegang saham sebulat suara memberi kelulusan bagi urus niaga itu, yang dijangka selesai pada 16 Januari dengan PNSB dan Air Selangor memenuhi pelbagai syarat dalam perjanjian jual beli (SPA) yang dimeterai pada November 2014.

Beliau berkata kelulusan itu adalah sebahagian daripada syarat yang ditetapkan di bawah SPA, dan dividen kira-kira RM1 sesaham berjumlah RM534 juta daripada hasil tunai akan diagihkan kepada pemegang saham selepas urus niaga itu selesai. - BERNAMA

Berita Harian X