Sabtu, 29 April 2017 | 5:52pm

PKR tunggu keputusan Majlis Syura Ulama PAS


DATIN Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Asyraf Hamzah

BUTTERWORTH: Kepemimpinan tertinggi PKR sebulat suara bersetuju untuk menunggu keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung usul memutuskan tahaluf siyasi dengan parti itu.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ketika ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai usul yang dibuat Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS itu.

"Kita tunggu dahulu apa kata Majlis Syura, baru kita akan buat keputusan mengenai perkara ini," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvesyen PKR Pulau Pinang 2017 di sini, hari ini.

Perkara sama turut dipersetujui Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali yang menolak sebarang spekulasi mengenai hubungan di antara PAS dan parti itu.

"Kita jangan buat apa-apa spekulasi sehingga keputusan Majlis Syura. PAS ini tidak sama seperti parti politik lain.

"Banyak keputusan besar mereka dibuat oleh Majlis Syura, yang akan bersidang selepas Muktamar selesai. Jadi, kita tunggu dulu," katanya.

Semalam, Dewan Pemuda PAS menerima sebulat suara usul cerai 'talak tiga' PAS ke atas PKR untuk menamatkan tahaluf siyasi yang selaras dengan keputusan dibuat Dewan Ulama PAS sehari sebelum itu.

Berita Harian X