Rabu, 7 Januari 2015 | 4:02pm

Ultras Malaya cetus kebangkitan

Sokongan Ultras Malaya di kejohanan Piala Suzuki AFF 2014 baru-baru ini, menjadi fenomena sehingga membangkitkan semangat rakyat Malaysia dan mendorong pasukan Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir. Namun, tidak ramai tahu sejarah Ultras Malaya yang pada awalnya hanya disertai oleh 20 remaja pada tahun 2007. Ikuti laporan bersiri mengenai sejarah pembentukannya.

Kuala Lumpur: Ceritanya bermula apabila sekumpulan 20 anak muda di sekitar Lembah Klang berbicara mengenai perkembangan bola sepak negara menerusi laman web sebagai medium pengantara pada akhir 2007, selaras rentak remaja masa kini. Menerusi kemudahan internet itu, mereka berbincang untuk berkumpul sebelum ke stadium.

Mengambil nama Harimau Malaya sempena jolokan yang pernah diberikan kepada skuad negara suatu ketika dulu, remaja terbabit kemudian menamakan kumpulan mereka sebagai Ultras Malaya, bertujuan mengembalikan kegemilangan sorakan penyokong setaraf zaman kehebatan negara di Stadium Merdeka.

Aksi pertama Ultras Malaya ialah pada 15 Oktober 2008, ketika perlawanan pembuka tirai Pestabola Merdeka di Stadium MBPJ, di antara Malaysia dan Nepal yang menyaksikan skuad Harimau Malaya menang 4-0. Ketika itu, chant atau sorakan semangat mula kedengaran dilaungkan sekumpulan 20 penyokong Ultras Malaya.


Ultras Malaya berhimpun di luar Stadium Rajamangala, Bangkok sebelum sepak mula perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2014, bulan lalu.

Terbuka kepada semua

Keadaan itu menyebabkan ada penonton lain di stadium tidak senang dengan kehadiran Ultras Malaya sehingga ada yang mengherdik dan mengeji mereka dengan kata-kata tidak menyenangkan.

Sokongan luar biasa kumpulan itu yang disertai penyokong seawal umur sembilan tahun terhadap skuad Harimau Malaya buat kali pertama disiarkan BH pada 2 Disember 2008.

Bagaimanapun, itu cerita tujuh tahun lalu. Kini, kumpulan ini disertai lebih 30,000 penyokong di seluruh negara menerusi pergerakan sama yang diwujudkan di semua negeri. Sehingga kini, ramai tertanya-tanya bagaimana hendak menyertai Ultras Malaya. Adakah ada borang perlu diisi?

Bagi menjawab persoalan ini, pengasas yang juga penggerak utama Ultras Malaya, Freddie Ben Arifin atau lebih dikenali sebagai Apit, berkata Ultras Malaya bukan sebuah pertubuhan, sebaliknya ia membuka pintunya kepada pencinta bola sepak tempatan yang berjiwa kental dalam memberikan sokongan kepada skuad negara.

"Penyokong memainkan peranan penting sebagai pemain ke-12 dalam mewujudkan suasana menarik, menyenangkan bahkan mengagumkan dan paling buruk, `meresahkan bagi masyarakat'.

Fikiran positif

"Dinamik sokongan kelompok penyokong memang sangat kompleks dalam membentuk serta memberikan sokongan terhadap pasukan kesayangannya. Seiring perkembangan teknologi globalisasi sekarang muncul beberapa komuniti yang menyerahkan sepenuh jiwa raga mereka untuk bola sepak Malaysia.

"Masing-masing berusaha memperjuangkan mentaliti dan ideologi mereka supaya mendapat perhatian umum kerana kesungguhan dan usaha mereka demi menyokong Malaysia secara tidak langsung membolehkan mereka berkongsi idea dan maklumat mengenai pembangunan bola sepak negara.

"Dengan modal populariti inilah mereka berfikiran positif, inovatif dan kreatif untuk memberi sokongan kepada Malaysia pada masa depan," katanya.

Freddie berkata, sebagai seorang Ultras Malaya, penyokong perlu berdiri sepanjang 90 minit perlawanan dan ini adalah cara sokongan Ultras di seluruh dunia.

Lebih gemar berdiri

"Penyokong akan menyanyi tanpa henti sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung tanpa dipengaruhi apa jua keputusan. Penyokong menyanyi berpandukan chant (lagu) yang diarahkan Capo iaitu ketua yang bertindak untuk memberikan arahan dan gaya bentuk sokongan kepada pasukan," katanya.

Justeru, tidak hairanlah penyokong Ultras Malaya membeli tiket bukan untuk duduk, sebaliknya mereka yang hadir berpakaian kuning dan hitam dengan mafla kuning hitam, lebih gemar berdiri sambil bernyanyi lagu semangat sebagai tanda sokongan terhadap pemain yang berjuang di tengah padang.

Sebagai seorang yang berjiwa ultras, Ultras Malaya sentiasa menetapkan sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan dalam apa juga keputusan perlawanan. Kerana itulah Ultras Malaya berpegang kepada prinsip - 'Kalau tidak sanggup menyokong ketika kalah, jangan bersorak ketika menang'.

INFO: Sokongan Ultras Malaya di peringkat negeri

Melaka: Ultras Taming Sari
Johor: Boys of Straits (BOS)
Negeri Sembilan: Ultras Nogori 9
Perak: Silver State Ultras
Kelantan: Gate H Boys
Selangor: UltraSel
Kedah: Ultras Kedah
Perlis: Brigate Gialloblu Perlis
Terengganu: Ultras Tranung
Pahang: Elephant Army
Kuala Lumpur: KL Ultras
Sabah: North Borneo Ultras
Sarawak: Gallore Buceros
Pulau Pinang: Ultras Panthers

Ikuti siri kedua pengalaman Matt Le Tissier, antara pengendali laman web di Facebook, HarimauMalaya, esok.

301 dibaca
Berita Harian X