Jumaat, 28 April 2017 | 10:57pm

AMK minta Majlis Syura Ulama PAS bersikap matang

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Majlis Syura Ulama PAS supaya bersikap matang dalam membuat keputusan mengenai usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Penolong Setiausahanya, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata, sebarang usul yang bertindak memutuskan hubungan tahaluf siyasi bersama PKR akan mengheret kepada situasi ketidakstabilan politik khususnya di Selangor, sekali gus memberikan kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, jika usul itu diterima dalam Majlis Syura, ini bermakna pemegang jawatan PAS di semua peringkat dalam kerajaan negeri Selangor seharusnya berundur daripada jawatan masing-masing.

"Perkara ini secara tidak langsung akan menjejaskan kestabilan politik khususnya di Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Dewan Ulamak PAS dalam muktamar tahunannya meluluskan usul untuk memutuskan kerjasama dengan PKR.

Syed Badli Shah turut membidas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, bahawa pimpinan PAS di Selangor tidak perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri Selangor jika PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR sebagai tidak masuk akal.

"Adalah tidak masuk akal PKR dan PAS bercerai tetapi masih mahu duduk sebumbung. Perlu saya tegaskan kepada Muhammad Khalil bahawa kerajaan negeri Selangor tidak dibentuk dengan hanya kerjasama PKR dan PAS semata-mata, tetapi DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) juga mempunyai peranan besar untuk memperkukuhkan kestabilan kerajaan negeri," katanya.

Syed Badli Shah berkata, beliau juga berasa terkilan apabila beberapa pembahas dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS hari ini menyasarkan PKR, Naib Presidennya, Rafizi Ramli dan Menteri Besar Selangor.

"Saya berasa agak terkilan kerana PAS menjadikan PKR sebagai bahan serangan dan bukannya UMNO dan BN," katanya.

Berita Harian X