Jumaat, 28 April 2017 | 6:11pm

PKR tunggu keputusan Majlis Syura - Dr Wan Azizah

SHAH ALAM: PKR akan menunggu keputusan Majlis Syura Ulama PAS terlebih dahulu sebelum membuat ketetapan membabitkan usul Dewan Ulama PAS semalam untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan parti itu.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ini kerana PAS masih lagi bersama-sama pembangkang kerana pendirian parti itu terhadap Barisan Nasional (BN) dan UMNO.


PRESIDEN PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Khairunisah Lokman

"Kita tengoklah macam mana, tetapi mereka (PAS) sudah kata terpulang kepada Majlis Syura. Kita akan tunggu keputusan Majlis Syura.

"PAS sudah mula mengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jadi saya fikir mereka masih lagi bersama-sama kita," katanya kepada pemberita hari ini.

Dr Wan Azizah turut mengakui keadaan di Selangor juga unik berikutan PAS turut berada dalam pentadbiran negeri, seperti DAP selepas bersama-sama mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Dari segi hubungan kerja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu berkata beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan Ahli Parlimen dan ADUN PAS di kawasan itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia akan bermasalah apabila berlaku keputusan sebaliknya membabitkan dasar seperti yang akan diputuskan Majlis Syura Ulama.

Semalam, Dewan Ulama PAS meluluskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Ketua Penerangan dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dilaporkan berkata usul itu diterima tanpa bahas dan akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulama.

Berita Harian X