Jumaat, 28 April 2017 | 1:36pm

Tiga lagi pelajar disyaki Geng 24 ditahan


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat - Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM: Tiga lagi pelajar disyaki terbabit dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap, Geng 24 ditahan di sebuah sekolah di Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata tiga pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima ditahan pada jam 12.40 tengah hari di pekarangan sekolah berkenaan.

"Perintah reman sudah diperolehi selama tiga hari sehingga 30 April ini. Tiga pelajar ini dipercayai terbabit dalam video itu dan kita masih dalam usaha untuk mengenal pasti ketuanya.

"Pada masa sama, polis tidak akan berhenti menjalankan siasatan dan tangkapan. Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Cawangan Khas baharu, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohd, 58, menggantikan Asisten Komisioner Adnan Abdullah.

Majlis disaksikan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff.

Fadzil berkata, tangkapan tiga pelajar itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan polis bersabit kumpulan kongsi gelap itu 41 orang, setakat ini.

Khamis minggu lalu, seramai 18 individu, termasuk 13 pelajar sekolah menengah ditahan susulan penularan rakaman video di media sosial dipercayai ada kaitan dengan Geng 24.

Mereka yang berusia antara 16 tahun dan 25 tahun, ditahan dalam operasi yang dijalankan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Bukit Aman dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Seramai 23 lagi individu, termasuk pelajar sekolah ditahan beberapa hari kemudian sehingga semalam.

Berita Harian X