Jumaat, 28 April 2017 | 1:06pm

Cerai 'talak tiga' dengan PKR

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS hari ini meluluskan usul supaya hubungan 'tahaluf siyasi' atau kerjasama politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) diputuskan dengan 'cerai talak tiga'.

Usul yang diluluskan sebulat suara perwakilan itu dilihat selari dengan ketetapan berhubung usul sama yang dibuat Dewan Ulama PAS, semalam, yang turut mahu hubungan PAS-PKR ditamatkan.

Wakil Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu, Abdul Rahmat Che Mat, ketika membahaskan cadangan itu berkata, biarpun ia diluluskan di peringkat sayap pemuda, usul itu nanti akhirnya akan diputuskan sepenuhnya oleh Majlis Syura Ulama PAS.

"Apa yang sedang berlaku dalam situasi politik antara PAS dengan Pakatan Harapan ketika ini memperlihatkan pelbagai jenis serangan dan tohmahan kepada batang tubuh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"PAS dan PKR sebelum ini kita sudah lakukan tahaluf siyasi, tetapi dengan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini ,boleh untuk kita putuskan hubungan ini...kalau boleh cerai talak tiga," katanya pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-58, di sini.

Berita Harian X