Jumaat, 28 April 2017 | 7:39am

Perbankan Islam mesti ada nilai moral

Banyak negara Islam yang juga anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mempunyai masalah dalam pembangunan ekonomi. Negara terbabit diketahui mempunyai ramai penduduk miskin tinggi, agihan pendapatan tidak sama rata, pengangguran tinggi, mundur dan taraf hidup yang rendah.

Realiti yang berlaku ini sejujurnya bercanggah dengan idealisme ekonomi Islam dalam memartabatkan keadilan sosioekonomi yang dibawa antaranya oleh Profesor Umer Chapra, Profesor Nejatullah Siddiqi dan Profesor Muhammad Akram Khan. Pemikir ekonomi Islam ini menegaskan mengenai objektif perbankan Islam yang perlu menjangkaui aspek undang-undang.

Pemikir ekonomi Islam menjelaskan keadilan sosioekonomi yang dimaksudkan merangkumi pengagihan pendapatan yang adil, peningkatan mobiliti sosial, mempromosikan kewangan menyeluruh dan memenuhi keperluan sosial serta pembangunan masyarakat. Oleh yang demikian, perbankan Islam seharusnya memperkasakan nilai sosial dan moral seperti penubuhan awal institusi kewangan Islam.

Mit Ghamr Saving Bank yang ditubuhkan di Mesir dan Tabung Haji di Malaysia pada 1960-an, antara institusi kewangan Islam yang terawal di dunia. Kedua-dua institusi ini ditubuhkan untuk pembangunan sosial masyarakat setempat. Mit Ghamr Saving Bank ditubuhkan untuk membantu keperluan kewangan masyarakat Mesir membangunkan sektor pertanian dan perladangan, manakala Tabung Haji pula adalah untuk membantu masyarakat Islam di Malaysia menyimpan duit bagi tujuan menyempurnakan ibadah haji yang menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam yang berkemampuan.

Operasi berlandaskan syariah

Dalam memenuhi tuntutan muamalat umat Islam, Bank Islam Dubai ditubuhkan pada 1975. Bank ini adalah bank pertama yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan menyerupai bank konvensional, tetapi operasi kewangannya berlandaskan syariah. Sejak itu, institusi kewangan Islam membangun dengan pesat di seluruh dunia, bukan sahaja di negara Islam bahkan di negara Barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Malah, faktor lonjakan Islamofobia di AS dan krisis kewangan yang berlaku pada 2007 antara faktor perbankan Islam mula bertapak di AS. Walaupun perbankan Islam melangkah jauh ke hadapan, namun terdapat kritikan mengenai objektif penubuhannya kerana dikatakan tidak memenuhi matlamat ekonomi moral Islam yang berteraskan keadilan sosial dan ekonomi.

Antara kritikan dikemukakan adalah kegagalan perbankan Islam menyumbang kepada dimensi sosial dengan hanya memenuhi tuntutan minimum perundangan dalam mereka bentuk produk kewangan Islam, penggunaan pembiayaan kewangan berasaskan hutang dengan meluas berbanding pembiayaan kewangan berasaskan ekuiti yang akan menjana ekonomi benar dan kewangan serta sama.

Perbankan Islam seharusnya berteraskan penggunaan produktif yang memacu nilai moral berteraskan konsep ekonomi moral Islam bagi memenuhi kehendak pembangunan sosial masyarakat. Oleh yang demikian, amalan perbankan Islam dilihat seperti form over substance iaitu hanya memenuhi aspek perundangan syariah tetapi kurang memberi perhatian kepada aspek sosial dan moral.

Aspirasi pembangunan mapan

Justeru, institusi kewangan Islam dicadangkan untuk mengamalkan aspirasi pembangunan mapan yang mempunyai tiga tanggungjawab asas iaitu, ekonomi, sosial dan alam sekitar sebagai satu konsep yang mampu menyelesaikan masalah ini. Konsep pembangunan mapan ini bermula pada 1987 dengan objektif untuk memastikan kehendak masyarakat pada waktu ini dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kehendak generasi akan datang.

Integrasi konsep ekonomi, sosial dan alam sekitar ini adalah satu tanggungjawab moral yang harmoni dengan ajaran Islam. Bagaimanapun, konsep pembangunan mapan dari sudut Islam adalah lebih holistik kerana ia bukan sahaja menekankan aspek material tetapi juga aspek sosial dan kerohanian.

Ini disokong dengan kandungan ayat suci al-Quran dan hadis yang menegaskan kepentingan membantu fakir dan miskin, menegakkan keadilan sosial, pembangunan masyarakat dan juga menjaga alam sekitar. Kepentingan kewangan menyeluruh ini telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis untuk membantu fakir dan miskin menerusi kewangan sosial seperti zakat, sedekah, infak, wakaf serta qard al-hasan (pinjaman berkebajikan).

Menurut kajian yang dijalankan di Malaysia, konsep pembangunan mapan kurang difahami oleh pelanggan perbankan Islam. Bagaimanapun, hasil kajian berkenaan mencadangkan perbankan Islam mempraktikkan nilai moral, etika dan tatakelola yang baik dalam pengurusan bank.

Amalan perbankan Islam tidak melabur dalam projek yang boleh merosakkan alam sekitar juga mendapat perhatian pelanggan bank berkenaan. Sehubungan itu, kebanyakan pelanggan perbankan Islam berasakan bank terbabit memulakan langkah yang bijak untuk menyumbang ke arah pembangunan mapan.

Berdasarkan kaedah ini, institusi kewangan Islam dapat merealisasikan aspirasi ekonomi moral Islam. Institusi kewangan Islam juga disarankan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berinovasi untuk kekal berdaya saing pada era ekonomi perkongsian, antaranya dengan menawarkan produk pendanaan awam dan juga produk berasaskan wakaf.

Walau apa keadaan sekalipun pada 2050, pendekatan wasatiyyah perlu menjadi teras pemikiran generasi akan datang dan diperkasa dalam gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ikuti kupasan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah

Muhammad Zin, esok.

16 dibaca
Berita Harian X