Rabu, 7 Januari 2015 | 1:27pm
Mangsa banjir, Mushaimi Mat Sharip, 53 melihat rumahnya di Kampung Buntut Pulau, Temerloh yang dihanyutkan arus deras banjir minggu lalu. - Foto Mohd Rafi Mamat

100 kakitangan MPS dan MPN bantu mangsa banjir di Temerloh

SEREMBAN: Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) hari ini menghantar 100 orang kakitangan mereka bagi misi pembersihan pasca banjir di Temerloh, Pahang.

Yang DiPertua MPS dan MPN, Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, turut dibawa dalam misi itu ialah 16 buah kenderaan termasuk lori pemungut sampah, lori penguat kuasa, lori tangki air, kenderaan pacuan empat roda, bas dan pelbagai peralatan pembersihan.

"Kumpulan ini ke sana selama tiga hari dan mereka akan diuruskan oleh pihat berkuasa tempatan di sana (Temerloh). Kerja pembersihan akan tertumpu kepada bangunan sekolah, hospital, tempat awam dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi kumpulan itu untuk misi kerja pembersihan pasca banjir di Temerloh, Pahang di sini.

Katanya kumpulan itu turut membawa dua lori muatan barangan keperluan seperti makanan, pakaian, lampin bayi dan ubat-ubatan sumbangan orang ramai kepada mangsa banjir.

Beliau berkata ini adalah misi kedua ke Temerloh dan pada misi pertama MPS serta MPN menghantar 60 orang kakitangan bersama enam kenderaan pada 31 Dis lepas.

Abd Halim berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban mangsa banjir khususnya pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan minggu depan.

"Kami bersedia untuk menghantar kakitangan bagi membantu di negeri-negeri yang dilanda banjir sekiranya diperlukan," katanya.

Beliau turut mengingatkan kakitangannya yang menyertai misi itu agar menjaga aspek kesihatan dan kebersihan diri seperti memakai penutup muka semasa melakukan kerja pembersihan.

Sementara itu, sebanyak 30 orang anggota Skuad 1Malaysia Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan 20 orang pegawai AADK Negeri Sembilan dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Zaifulbahri Idris untuk misi bantuan kemanusiaan ke Terengganu hari ini.

Mereka berlepas menggunakan sebuah bas, empat lori dan masing-masing dua buah kenderaan pacuan empat roda serta dua buah van.

Zaifulbahri berkata, selain bantuan membersihkan kediaman mangsa banjir, kumpulan sukarelawan itu akan turut menyampaikan bantuan makanan dan pakaian serta keperluan memasak.

"Bantuan ini bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir," katanya.

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) hari ini turut mengadakan majlis pelepasan kali ketiga kepada sebanyak 15 orang anggota Rejimen Pakar Pengendalian Air Ke-60 (RAJD 60) (Askar Wataniah kakitangan SAINS) ke misi bantuan banjir di pantai timur.

Majlis pelepasan di Ibu Pejabat SAINS Seremban 2 disempurnakan oleh Pengarah SAINS Wan Rasdi Wan Ismail.

Wan Rasdi berkata, misi bantuan banjir itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab korporat kerajaan Negeri Sembilan bersama-sama SAINS bagi membantu rakyat di pantai timur yang terlibat dengan banjir.

Katanya, pelepasan anggota RAJD 60 pada hari ini merupakan kumpulan ke tiga yang dihantar oleh pihak SAINS.

Sebelum ini pada 1 Januari lepas SAINS menghantar dua buah lori tangki air dan 13 orang kakitangan untuk membantu mangsa banjir dan pada 5 Januari, sebanyak 10 orang kakitangan dihantar ke pantai timur bagi membantu kerja pembersihan loji. - BERNAMA

Berita Harian X