Khamis, 27 April 2017 | 6:55pm
BANGUNAN di pekan Slim River kembali ceria dengan mural yang dihasilkan oleh pelajar Politeknik Muadzam Shah dalam Program Sukarelawan Perdana YES Politeknik. - Foto Rosman Shamsudin

Mural sukarelawan PMS jadi tarikan


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib menujukkan bakat seni mural sempena Program Sukarelawan Perdana YES Politeknik di Pekan Slim River. - Foto Rosman Shamsudin

SLIM RIVER: Seramai 24 pelajar dan tujuh pensyarah dari Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang dan Jabatan Politeknik Malaysia menghasilkan mural pada dinding sebuah bangunan di pekan ini.

Ia dilakukan oleh penuntut Diploma Reka Bentuk Grafik dan Diploma Teknologi Media Cetak dari Jabatan Reka Bentuk dan Komunikasi Visual PMS sempena Program Sukarelawan Perdana YES Politeknik, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib turut turun padang meninjau aktiviti peserta program serta memberi sokongan dan menyumbang kreativiti melukis mural.

Pegawai Sukarelawan YES PMS, Afzanizam Alias, 36, berkata mural yang dilukis di tepi dinding bangunan itu berkonsepkan tempat bersejarah dan menarik yang ada di sekitar pekan itu seperti masjid lama, Rumah Zaaba, kampung tradisional dan Rumah Roti Mokhtar.

Katanya, mural yang dihasilkan itu adalah hasil kreativiti pelajar sendiri yang menterjemahkan teori dalam kelas untuk dipraktikkan dan secara tidak langsung mengasah bakat dan potensi diri dalam menghasilkan mural.


AHLI Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib (lima kiri belakang) bergambar dengan peserta Program Sukarelawan Perdana YES Politeknik di Pekan Slim River. - Foto Rosman Shamsudin

"Kita juga mahu menggalakkan pelajar terbabit dalam aktiviti sukarelawan sebagai persediaan mereka untuk berdepan dengan masyarakat apabila tamat belajar nanti.

"Sejak semalam lagi lukisan mural yang kami hasilkan mendapat perhatian penduduk setempat yang datang untuk bergambar dan memuji usaha PMS ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Khusairi berkata mural dihasilkan pelajar berkenaan bukan sahaja mencantikkan keadaan bangunan pekan ini, malah turut menggamit nostalgia penduduk di sini.

Beliau berkata, kawasan berkenaan bakal menjadi tumpuan penduduk dan tarikan pengunjung untuk merakamkan gambar dengan hasil seni mural yang cukup membanggakan.

Kumpulan sukarelawan dari PMS cukup popular di Pahang yang sebelum ini turut melukis mural di Kuantan, Rompin, Pekan dan Bandar Muadzam Shah.

Berita Harian X