Khamis, 27 April 2017 | 6:37pm

Hadi perinci hubungan PAS-PKR malam esok


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Khairul Azry Bidin

ALOR SETAR: Perincian mengenai status kerjasama politik atau 'tahaluf siyasi' dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, melalui amanat sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di sini, malam esok.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata kepemimpinan tertinggi setakat ini menerima lebih 30 usul dari negeri untuk mengkaji dan memutuskan hubungan dengan PKR.

"Untuk keterangan lanjut saya minta semua perwakilan dengar taklimat (amanat) Presiden mengenai usul memutuskan hubungan dengan PKR (malam esok).

"Kalau setakat suruh kaji, Majlis Syura Ulama (MSU) sudah berbuat demikian sejak tahun lalu, namun sehingga kini belum ada sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Benda ini kita perlu kaji dengan teliti kerana mempunyai kaitan dengan pelbagai perkara...saya harap semua (perwakilan PAS) bersabar," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Dewan Ulama PAS Ke-56, di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Zawawi Salleh, menegaskan parti itu bekerjasama dengan kerajaan untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Memperkasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016).

Sehubungan itu, beliau berkata tafsiran segelintir pihak bahawa PAS bersekongkol dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membentangkan RUU 355 itu adalah tidak tepat.

"Kita kerjasama dengan kerajaan, bukannya UMNO atau BN...semua pihak kena jelas mengenai perkara ini dan jangan terpedaya dengan momokan segelintir pihak.

"Kerajaan yang menerajui negara tidak mewakili mana-mana parti, sebaliknya mereka menunaikan amanah yang diberikan rakyat," katanya.

Berita Harian X